• Datuk Seri Adnan Yaakob Datuk Seri Adnan Yaakob
1 /

KUANTAN – Barisan Nasional (BN) Pahang tidak menolak kemungkinan akan ada percubaan untuk mensabotaj parti dalam kalangan pemimpin yang tidak terpilih menjadi calon pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).

Pengerusi BN Pahang, Datuk Seri Diraja Adnan Yaakob berkata, unsur mensabotaj parti itu akan berlaku bukan sahaja dalam BN, bahkan parti lain.

“Kita tidak tolak ada kemungkinan calon atau tokoh-tokoh akan mensabotaj parti kerana mereka tidak terpilih (untuk bertanding).

“Apa yang perlu dilakukan (ialah) bagaimana untuk menanganinya. Kita perlu ingat perkara ini tidak boleh tolak sekiranya berlaku, memandangkan kita bukan masyarakat yang sempurna," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Persatuan Menunggang Kuda Kanak-kanak Kurang Upaya Pahang di Pusat Ekuestrian Tanjung Lumpur, dekat sini, kelmarin.

Ditanya mengenai senarai akhir calon BN untuk PRU13, Adnan berkata, keputusan muktamad akan ditentukan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, selaku Pengerusi BN.

“Kita sudah lama menyerahkan senarai nama calon, tetapi belum dipilih secara muktamad dan masih ada masa untuk berbuat demikian.

“Sehingga ke saat akhir pun pengerusi BN mempunyai hak melakukan pemilihan dan perubahan ke atas calon jika dirasakannya perlu,” katanya.