• Fokus PRU 13 Fokus PRU 13
1 /

NEGERI Johor cukup sinonim sebagai kubu kuat Barisan Nasional (BN) dan Umno, di mana senario politik 2008, parti itu berjaya mengekalkan 25 kerusi Parlimen daripada 26 yang dipertandingkan serta 50 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) hanya enam berjaya dimiliki pembangkang.

Biarpun ramai mengatakan Pilihan Raya Umum ke 12, berlaku tsunami politik dengan empat negeri berjaya ditakluki Pakatan Rakyat namun Johor dilihat masih berada di kedudukan selamat.

Mengakui PRU 13 situasi politik paling getir bakal ditempuh, beberapa analisa meletakan Parlimen Batu Pahat di kedudukan 50-50 namun tempias yang sama tidak dirasai Parlimen Parit Sulong (P.147) yang dilihat sebagai kawasan ‘putih’ kekal milik BN.

Dengan mencatat rekod cemerlang pada PRU12 lalu, ketiga-tiga kerusi berkenaan memenangi hampir 80 peratus undi milik BN, namun adakah kejayaan itu mampu diulangi tahun ini?

Ikuti laporan penuh, wartawan KAMARUL HALIM M KAMAL mengupas mengenai kesahihan kawasan putih ini.

Pengundi berteka-teki calon mereka

WALAUPUN dianggap kawasan selamat, Parlimen Parti Sulong merangkumi dua kawasan Dun iaitu Dun Semerah (N.17) yang kini disandang oleh Datuk Ariss Samsudin, dan Dun Sri Medan (N.18), yang diduduki Exco Kerajaann Negeri, Datuk Ahmad Zahri Jamil, tidak terlepas daripada spekulasi yang timbul.

Kawasan berkenaan mempunyai ramai barisan pemimpin berkaliber dan dengan tiga kerusi yang dipertandingkan, orang ramai dan juga pengundi ada yang membuat spekulasi dan berteka-teki mengenai siapa calon yang paling layak untuk diangkat menjadi pemimpin mereka.

Nama yang cukup popular seperti Ahli Parlimennya, Datuk Noraini Ahmad sememangnya tidak lekang daripada mulut penyokong dan pengundi.

Ramai yang mahukan beliau kekal dan ada juga yang menyatakan tempatnya bakal digantikan dengan calon lain.

Selain Noraini, turut dikaitkan dengan kerusi parlimen ini ialah bekas Ahli Parlimennya (2004-2008) iaitu Datuk Syed Hood Syed Edros.

Malah ada yang mencongak Adun Semerah, Datuk Ariss Samsudin bakal ‘naik pangkat’, selain muka baru yang kini menjawat jawatan Ketua Pemuda Umno Johor, Datuk Zulkurnain Kamisan.

Tidak kurang pula, ada yang memperkatakan Pengerusi Media Prima Berhad (MPB), Datuk Johan Jaafar dilihat juga sebagai calon sesuai selaku orang tempatan Parit Sulong.

Bagi senarai calon Dun untuk BN, selain lima calon tadi disebut-sebut untuk mengisi tempat, Adun Sri Medan sekarang, Datuk Ahmad Zahri Jamil dan Naib ketua Umno Bahagian Parit Sulong, Ismail Roslan juga antara nama yang menjadi sebutan.

Sementara itu, Pas dipercayai akan meletakkan calon mereka di kerusi Parlimen Parit Sulong dan Dun Sri Medan, manakala calon PKR di kerusi Dun Semerah.

Bagi kerusi parlimen, Pas dikatakan meletakkan Ahli Jawatankuasa Badan Perhubungan Pas Johor, Khairuddin Abd Rahim sebagai calon, namun sehingga kini masih belum mengumumkan calon untuk kedua-dua kerusi Dun.

Pertambahan pengundi sebanyak 12 peratus iaitu seramai 5,922 pengundi, kini menghangatkan lagi PRU13 ini, dengan setiap parti bertanding berusaha untuk memikat hati pengundi yang rata-ratanya adalah pengundi muda.