SHAH ALAM - Parti Bersatu menolak kehadiran anasir luar dan mereka yang bermata duitan yang cuba menghimpit parti itu demi kelangsungan politik masing-masing.

Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir berkata, anggota parti lain yang cuba berhijrah ke Bersatu akan ditapis terlebih dahulu dan tidak diterima sewenang-wenangnya.

“Yang kaki bodek, kepala masam mata duitan, kutuk kita sebelum ini, timbulkan masalah, depa boleh ‘stay’ dalam Umno.

“Musuh-musuh siap sogok beberapa pemimpin kita untuk tinggalkan Bersatu, arah bekas pemimpin yang tidak ikhlas buat sidang media untuk hentam perjuangan kita sehingga mereka terkantoi,” kata Menteri Besar Kedah itu pada sambutan ulang tahun kedua Bersatu di Stadium Malawati, di sini malam tadi.

Turut hadir Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali,  Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Pengerusi DAP Tan Kok Wai, Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Menteri Besar Selangor Amirudin Shari.

Mukhriz berkata jika Bersatu ingin perjuangannya terus berkekalan, parti itu perlu bersiap sedia dengan perubahan landskap politik negara dan tidak leka dengan serangan musuh,.

“Dengan persiapan dan perancangan rapi, kehadiran musuh akan memberi kita kekuatan untuk meningkatkan keyakinan rakyat, khasnya orang Melayu kepada kita,” katanya. - Bernama