KUALA SELANGOR – Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) Negeri Selangor mempertaruhkan aura orang lama, Mohd Najib Itam Othman bagi merebut kerusi Dun Jeram menjelang PRU14 nanti.

Nama Mohd Najib Itam yang juga Ketua Bersatu Bahagian Kuala Selangor itu diumumkan secara terbuka bersama calon Ahli Parlimen Tanjong Karang, Datuk Dr Zulkaferi Hanafi dan calon Dun Sungai Burong, Mohd Azmil Misman.

Mengenali beliau lebih lanjut, bekas guru yang berkhidmat di Selangor sejak 1994 sehingga 2011 itu tidak menafikan pengalaman dalam parti terdahulu mendorongnya untuk bangkit memperjuangkan nasib rakyat dengan lebih baik.

“Peluang menjadi calon untuk Dun Jeram menjadi titik tolak untuk saya memperjuangkan nasib rakyat dengan kesinambungan manifesto Pakatan Harapn (Harapan).

“Sudah pastinya, kebajikan penduduk terutamanya komuniti India di Bukit Cloh, Tambak Jawa, Sungai Janggut dan beberapa kawasan tumpuan lain akan diberikan pembelaan,” katanya kepada Sinar Harian hari ini.