SHAH ALAM - Bersatu Wilayah Persekutuan telah mengumumkan dua wakilnya yang akan bertanding pada PRU14.

Memetik laporan Astro Awani, ahli akademik Datuk Dr Samsu Adabi Mamat akan bertanding di Putrajaya manakala Ketua Srikandi Bersatu, Rina Harun akan merebut kerusi Titiwangsa.

Pengumuman dibuat oleh Ketua Bersatu Wilayah Persekutuan Kapten (B) Muhammad Suhaimi Yahya di pejabat Bersatu bahagian Putrajaya di sini semalam.

Dengan pengumuman tersebut, kedua-dua kerusi ini bakal menyaksikan pertandingan tiga penjuru setelah Pas mengesahkan akan menghantar wakil di dua kerusi tersebut.

Pada PRU13 lalu, Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berjaya mengekalkan kerusi Putrajaya untuk BN buat kali ketiga berturut-turut apabila menewaskan calon Pas ketika itu Datuk Husam Musa dengan majoriti 5,541 undi.

Sementara itu, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani menewaskan calon Pas, Ahmad Zamri Asa’ad Khuzaimi dengan majoriti 866 undi untuk memenangi kerusi Parlimen Titiwangsa.