JELI - Bersatu Jeli sedia memberi laluan kepada Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed untuk mengepalai parti itu sekiranya pemimpin berkenaan memilih untuk bersama mereka.

Ketua bahagiannya, Dr Aminuddin Yaacob beliau bersedia melepaskan posisinya bagi membolehkan Mustapa atau Tok Pa mengisi kekosongan jawatan tersebut.

"Saya tidak ada apa- apa kepentingan dengan jawatan ketua bahagian, kerana keutamaan saya hanya untuk berkhidmat kepada rakyat, membangunkan Jeli dan membela nasib mereka di sini.

"Saya tak ada agenda dari berbelas tahun saya bersama Tok Pa sebelum ini, tak ada apa- apa hanya nak berkhidmat kepada rakyat, buka klinik, bagi rawatan percuma kepada rakyat yang tak mampu, kongsi pandangan untuk bangunkan Jeli, sebab kita makan dan minum dah cukup, bukan nak kejar nama, tapi keikhlasan itu penting," katanya kepada media di sini.

Aminuddin ditemui media ketika menghadiri Karnival Sukan sempena Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia yang disertai kakitangan, penghuni serta Ahli Lembaga Pelawat (ALP) Pusat Rawatan dan Pemulihan (CCRC) Jeli.

Aminuddin yang juga Timbalan ALP CCRC Jeli berkata, selama 17 tahun beliau bersama Tok Pa di Jeli dan sepanjang tempoh itu juga tidak ada apa- apa jawatan disandang dalam Umno kerana itu bukan keutamaan baginya.

"Kalau Tok Pa saya tahu, dia memang bekerja untuk rakyatnya, beri kemudahan pada rakyat, bangunkan Jeli sebagaimana yang kita lihat hari ini, tak salah untuk saya beri peluang padanya untuk teruskan agenda- agenda pembangunan masa depan yang mungkin sudah dirancang sebelum ini," katanya.

Tambahnya, beliau juga percaya rakyat Jeli akan menghormati keputusan Tok Pa yang juga Adun Air Lanas kerana mereka tahu dan sedar bagaimana Tok Pa berjuang untuk meningkatkan taraf hidup dan ekonomi mereka.

"Rakyat sokong dia kerana batang tubuhnya, pelaksanaan dan gerak kerja dia, dia orang rajin untuk bangunkan jeli dan rakyatnya. Malah, Tok Pa yang saya kenal tak ada agenda untuk peribadi, tapi dia sangat komited dalam membangunkan agenda- agendanya terutama pendidikan untuk ubah taraf hidup orang- orang di sini," katanya.

Menurutnya, dia meninggalkan Umbo bukan kerana salah faham dengan Tok Pa mahupun pemimpin Umno di Jeli sebaliknya kerana merasakan perjuangan parti itu tidak lagi selari dengan prinsipnya.

"Saya keluar sebab saya rasakan hak mentadbir negara sudah lari dari landasan, saya tak gaduh dengan sesiapa, dengan Tok Pa dan pimpinan Umno Jeli pun saya masih baik," katanya.