KUALA TERENGGANU - Kisah dua anjing bermusuhan yang melawan serigala mungkin boleh dijadikan pengajaran dalam isu kerjasama Pas dan Umno.

Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin berkata, dalam kisah tersebut kedua-dua anjing asalnya bergaduh namun bersatu melawan musuh yang sama iaitu serigala.

"Dua ekor anjing ini sedang bergaduh merebut tulang, tiba-tiba muncul seekor serigala. Kedua-duanya berhenti bergaduh dan kejar serigala kerana sedar musuh utama mereka adalah serigala.

"Itu anjing boleh fikir. Sekarang musuh utama kita siapa?," katanya ketika berucap di Muktamar Pemuda Pas ke-59, hari ini.

Katanya, sekarang bukan masa sesuai untuk bergaduh dengan Umno dengan suasana orang  Melayu berpecah kepada lima parti.

"Tolong belajarlah daripada kisah anjing tadi. Sesuai ke masa ini untuk kita fikir gaduh dengan Umno?.

"Memang kita tak setuju Umno buat kita macam-macam, itu kita tak lupa. Tetapi sekarang musuh utama, apa patut kita buat dan dengan siapa kita kawan," katanya.