KUALA LUMPUR - Pembekuan akaun Umno dan pemimpin-pemimpinnya tidak akan  melumpuhkan kebangkitan parti Melayu itu.

Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menegaskan, tindakan kerajaan Pakatan Harapan (Harapan) membekukan akaun parti dan pemimpin Umno tidak membantutkan kemaraan parti pembangkang itu.

"Jangan ingat mereka (kerajaan) bekukan akaun kita, Umno akan lumpuh.

"Sebaliknya apabila kita ditekan, semangat akar umbi Umno semakin membara, mereka bertambah 'garang' untuk berjuang," katanya ketika sidang media Menara Dato'Onn di sini, hari ini.

Menurutnya, ketika Umno menjadi komponen kerajaan dahulu, mereka tidak mengekang parti politik lawan.

Katanya, walaupun dulu Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) pernah menggantung penubuhan Bersatu, tetapi kerajaan tidak pernah bekukan akaun mereka.

"Umno tak pernah kekang parti politik yang dulunya pembangkang.

"Walaupun Bersatu pernah digantung oleh ROS tapi tidak pula kita bekukan akaun mereka," jelasnya.

Asyraf yang juga bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri memaklumkan, dalam siri jelajah Pemuda Umno ke Melaka, Negeri Sembilan dan Sabah baru-baru ini, semua perbelanjaan ditanggung sendiri oleh Pemuda di peringkat negeri.

"Meskipun akaun parti dibekukan, program Pemuda Umno masih berjalan kerana kita amalkan budaya baharu iaitu akar umbi sedia berkorban, mereka kumpul dana untuk adakan jamuan dan membiayai penginapan ketua mereka.

"Misalnya dalam siri jelajah ke Sabah,saya hanya membayar tiket penerbangan, kami tidak tinggal di hotel sebaliknya hanya bermalam di rumah pemimpin Pemuda di sana, jamuan pula hasil kutipan dana. Kini kita amalkan budaya pengorbanan demi perjuangan,"jelasnya.

Dalam perkembangan lain, beliau menyambut baik cadangan kerajaan yang akan menggubal akta pembiayaan dana politik bagi menghalang penyokong dan ahli parti memberi derma yang menjurus kepada amalan rasuah.

"Saya rasa kita memang dah lama dah nak gubal akta tersebut, sebab dulu mendapat tentangan daripada pihak parti yang hari ini dah jadi pemerintah, dulu pembangkang.

"Bagi kami, kita harus bersifat telus dalam konteks sumbangan-sumbangan yang nak diberikan kepada parti politik dan ini akan memberikan satu isyarat dan mesej yang jelas kepada rakyat bahawa tidak ada apa yang perlu kita sorokkan apabila kita ada akta sedemikian.Ini bukan perkara baharu ia dah diamalkan di banyak negara maju," ujarnya.

Tambahnya, untuk kita maju ke hadapan dan memastikan budaya demokrasi politik yang lebih luhur, akta tersebut amat relevan untuk kita memastikan tidak ada lagi sangkaan buruk apabila adanya pihak yang menyumbang kepada mana-mana parti politik dan kita pun mengharapkan sumbangan-sumbangan sedemikian.