JOHOR BAHRU - Bekas Panglima Tentera Darat Jen (B) Tan Sri Md Hashim Hussein diumumkan sebagai calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk bertanding kerusi Parlimen Johor Baharu pada pilihan raya umum ke-13.

Pengumuman berkenaan dibuat Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim pada ceramah Siri Jelajah Merdeka Rakyat di Kampung Datuk Sulaiman Menteri, Majidee, di sini, malam tadi.

"Seorang Jeneral empat bintang yang kita (PKR) akan tawarkan sebagai calon Parlimen Johor Baharu. Anak jati Johor Baharu," katanya.

Selain Md Hashim, Anwar turut mengumumkan parti itu mempertaruhkan Timbalan Setiausaha Agungnya Steven Choong untuk calon kerusi Parlimen Tebrau, Penyelaras PKR Muar Nor Hizwan Ahmad untuk calon kerusi Parlimen Muar manakala Naib
Presiden NGO Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (Wadah), yang juga bekas pemimpin Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) Datuk Idris Jauzi sebagai calon kerusi Parlimen Batu Pahat.

Hadir sama pada ceramah dihadiri lebih 1,000 orang itu, Penasihat DAP Lim Kit Siang, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan Anggota Parlimen Ampang Zuraida Kamaruddin.

Pada pilihan raya umum 2008, penyandang kerusi Parlimen Johor Baharu Tan Sri Shahrir Abdul Samad menang bagi kerusi parlimen itu dengan majoriti 25,349 undi menentang calon Parti Rakyat Malaysia (PRM) Hassan Karim.

Datuk Teng Boon Soon pula menang bagi kerusi Parlimen Tebrau dengan majoriti 14,851 undi menentang calon PAS Roslani Sharif manakala kerusi Parlimen Muar pula dimenangi Timbalan Menteri Belia dan Sukan Datuk Razali Ibrahim dengan majoriti 4,661 undi mengalahkan calon PKR Nah Budin.

Timbalan Menteri Pelajaran Dr Mohd Puad Zarkashi pula memenangi kerusi Parlimen Batu Pahat dengan majoriti 12,968 undi menentang calon PKR Muhammad Abdullah.- Bernama