TEMERLOH - Bekas Adun Mentakab, Datuk Chuah Boon Seong mengesahkan akan bertanding pada PRU 14 akan datang atas tiket calon bebas sekaligus bakal menyaksikan pertembungan tiga penjuru kerusi Dun Mentakab antara BN, DAP dan Bebas.

Boon Seong yang juga Ketua MCA Cawangan Bandar Mentakab, membuat keputusan mengejut itu selepas mendakwa tidak berpuas hati dengan cara kepimpinan individu tertentu dalam MCA Bahagian Temerloh ketika ini.

Menurutnya, beliau akan meletak jawatan sebagai ahli MCA untuk meneruskan hasratnya itu tetapi masih menunggu tarikh sesuai untuk berbuat demikian.

"Betul khabar angin itu, saya akan bertanding dalam PRU akan datang atas kapasiti calon bebas, ini terpaksa saya lakukan kerana terlalu banyak masalah dalam MCA sekarang dan calon yang dikatakan mewakili MCA nanti bagi saya langsung tidak ada harapan untuk menang.

Boon Seong berkata, beliau telah membuat tinjauan untuk bertanding dan yakin mempunyai sokongan ramai berdasarkan rekod kepimpinan selama dua penggal sebagai Adun Mentakab mewakili BN sebelum ini.

Beliau yang juga pesara guru berkata, rasa tidak puas hati pada kepimpinan yang ada itu bukan baharu tetapi sudah lama turut menjadi alasan beliau mengambil keputusan itu.

"Ia satu perkara yang kompleks dan salah satu punca saya ambil keputusan ini sebab calon yang diletakkan MCA untuk kerusi Dun Mentakab pada PRU akan datang langsung tidak sesuai dan tidak boleh membantu kemenangan BN," katanya.

Boon Seong sebelum ini berkhidmat selama dua penggal tewas pada PRU 13 lalu kepada calon DAP Tengku Zulpuri Shah Raja Puji dengan majoriti 1,554 undi.

Beliau turut tewas dalam usahanya mempertahankan jawatan sebagai pengerusi MCA Temerloh dalam pemilihan MCA kepada Datuk Wong Tat Chee yang menerajui kepimpinan itu ketika ini.

Boon Seong dilahirkan pada 22 Oktober 1955 menjadi wakil rakyat sejak 2004 sehingga 2013 dan pernah menjadi setiausaha sulit kepada timbalan menteri.

Antara calon yang dikatakan akan mewakili BN pada PRU 14 akan datang bagi kerusi Dun Mentakab adalah Datuk Wong Tat Chee.

 

 

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.