• Jentera daripada 11 PDM bagi kawasan Dun Luit berkumpul untuk melakukan demo bantahan aman mendesak Hidayah digugurkan sebagai calon BN. Jentera daripada 11 PDM bagi kawasan Dun Luit berkumpul untuk melakukan demo bantahan aman mendesak Hidayah digugurkan sebagai calon BN.
1 /

MARAN - Nama Ketua Puteri Umno Bahagian Maran, Norhidayah Mohd Suhaimi yang tidak semena-mena dipilih sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dun Luit menimbulkan ketidakpuasan hati dalam kalangan jentera dan ahli BN di kawasan tersebut.

Bagi menyatakan bantahan, satu demonstrasi aman dibuat membabitkan jentera dari semua 11 Pusat Daerah Mengundi (PDM) dalam kawasan Dun Luit bagi menuntut Pengerusi BN Pahang, Datuk Seri Diraja Adnan Yaakob menukar calon tersebut atau mengekalkan penyandang terdahulu iaitu Datuk Ahmad Munawar Abdul Jalil.

Setiausaha PDM Bukit Tajau, Roslan Awang berkata, calon wanita berusia 29 tahun itu tidak bersesuaian kerana masih baru dalam arena politik tempatan, malah kurang dikenali pengundi walaupun dalam kalangan pengundi muda.

PDM terlibat ialah Bukit Tajau, New Zealand, Luit, Senggora, Bandar Maran, TOP, Bukit Batu, Kuala Wau, Mentenang, Lubuk Paku dan Serengkam.

Menurutnya, kewibawaan calon itu tidak meyakinkan dan tidak mendapat sokongan penuh daripada ahli BN termasuk dari kawasan masyarakat Cina dan India di Sri Jaya.

Ketua Penerangan PDM Kampung Senggora, Ahmad Shuhor Awang berkata, mereka tidak menolak BN, sebaliknya tidak bersetuju dengan calon baru yang diketengahkan itu sedangkan bahagian Maran mempunyai ramai calon berkelayakan lain.

“Jika Hidayah tetap diletakkan sebagai calon, saya jamin BN akan kalah di Luit kerana dia tidak dikenali pengundi,” katanya.

Difahamkan akan terdapat dua calon bebas bakal bertanding di kerusi Dun Luit sekiranya tiada sebarang perubahan calon sehingga hari penamaan pada 20 April ini.

Sementara itu, seorang veteran Umno yang juga Ahli Jawatankuasa Umno Bahagian Maran, Ismail Mat Resat pula sudah menawarkan diri untuk bertanding di kerusi berkenaan sekiranya Hidayah kekal sebagai calon BN.

Ini bermakna, kerusi Dun Luit akan menyaksikan pertembungan empat penjuru membabitkan calon BN, Pas dan dua Bebas.