SHAH ALAM - Sentimen bakal Perdana Menteri dari Port Dickson dilihat menjadi modal kemenangan buat PH khususnya PKR dalam PRK Parlimen Port Dickson yang akan datang.

Penganalisis politik, Prof Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata, kenyataan yang disebarkan mengenai kemungkinan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim diangkat sebagai Perdana Menteri kelapan telah lama dimainkan sejak sebelum PRU14 lagi.

Menurutnya, sentimen yang sama juga (Anwar bakal PM) akan digunakan sebagai modal kemenangan PH dalam PRK Parlimen Port Dickson ini.

“Memang nak tak nak sentimen dah dimainkan… PKR akan kata bakal PM mungkin daripada PD.  Orang (pengundi) PD pun kena berfikirlah, bakal PM akan bertanding di tempat mereka dan mereka akan mempunyai minat yang lebih dalam PRK kali ini berbanding tiga PRK sebelum ini.

“Pembangkang pun nak tak nak kena fikir nak letak calon di kerusi berkenaan.  Kalau tokoh biasa rasanya tak mampu untuk kalahkan Anwar.  Sedangkan sebelum ini bukan Anwar pun bertanding di situ sudah menang besar, inikan pula Anwar,” katanya kepada Sinar Harian, hari ini.

Sementara itu, Azizuddin ketika diminta mengulas mengenai signifikan jumlah pengundi Melayu dan bukan Melayu di lokasi berkenaan kepada kemenangan Anwar berkata, perkara berkenaan berkemungkinan antara sebab utama mengapa kerusi berkenaan dipilih oleh Anwar.

Menurutnya, Anwar boleh memilih kerusi lain untuk bertanding, namun kerusi Parlimen Port Dickson telah menjadi pilihan utama.

“Saya rasa kawasan itu dipilih sebab kawasan itu PKR rasakan ada peluang menang.  Sebelum ni menang majoriti agak besar.  Di situ juga ada jumlah pengundi bukan Melayu yang besar… kawasan bandar… kawasan urban. Ada pengundi tentera yang dijangka akan bagi sokongan kepada Anwar.

“Walaupun ada kumpulan patriot berkata jangan bertanding di situ tetapi perkiraan menunjukkan ada sokongan daripada tentera kepada Anwar,” tegasnya.

Bagaimanapun menurutnya, kerusi paling selamat untuk ditandingi Anwar ialah di kerusi Parlimen Pematang Pauh yang kini diamanahkan kepada Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar.

“Kalau Anwar nak bertanding di situ ianya melibatkan kerusi anaknya sendiri… dalam masa yang sama ada ahli parlimen yang sukarela membuat keputusan memberikan laluan kerusi kepada Anwar untuk ditandingi.

“Keputusan Anwar (bertanding di Parlimen Port Dickson) ini sudah membabitkan penelitian yang mendalam,” katanya.

[ARTIKEL BERKAITAN: http://www.sinarharian.com.my/politik/pulau-pinang-atau-negeri-sembilan-pilihan-anwar-1.878470]

Sebelum ini kerusi Parlimen Nibong Tebal, Permatang Pauh, Pandan dan Port Dickson menjadi antara kerusi Parlimen yang disebut-sebut sebagaipilihan Anwar untuk bertanding dalam langkah untuk menjadi perdana menteri kelapan.

Pada sidang media di Ibu Pejabat PKR semalam, segalanya teka-teki terungkai apabila Anwar telah memilih untuk bertanding di kerusi Parlimen Port Dickson.

Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Danyal Balagopal Abdullah secara sukarela mengosongkan kerusinya buat Anwar bagi membolehkan beliau diangkat sebagai Perdana Menteri ke lapan kelak.

[ARTIKEL BERKAITAN: http://www.sinarharian.com.my/politik/port-dickson-untuk-anwar-1.878828]

Pada PRU14 lalu, Danyal berjaya mendapat sebanyak 17,710 majoriti apabila mendapat jumlah undi sebanyak 36,225, diikuti calon BN, Datuk VS Mogan yang mendapat jumlah undi 18,515 dan calon PAS, Mahfuz Roslan (6,594).

Kemenangan pada PRU14 itu merupakan kemenangan kali ke-3 PKR selepas meletakkan calon sejak PRU 12.