SHAH ALAM - Bajet 2018 Selangor yang dibentangkan dilihat lebih kepada ‘gula-gula’ kepada rakyat menjelangnya PRU14 tidak lama lagi.

Adun Sungai Panjang, Budiman Mohd Zohdi berkata, Bajet 2018 Selangor ini langsung tidak menyentuh mengenai pendidikan percuma seperti Bajet Alternatif Malaysia 2018 yang dibentangkan minggu lalu.

“Pembangkang telah menjanjikan pendidikan percuma. Sangkaan bahawa kerajaan negeri akan menjadi negeri contoh dan yang pertama untuk melaksanakan pendidikan percuma tidak langsung terbayang dalam bajet yang diumumkan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamded Azmin Ali.

“Secara tidak langsung, ia membuktikan perkara ini adalah suatu imaginasi melampau yang sukar untuk dilaksanakan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini

Selain pendidikan percuma, Budiman turut menyentuh beberapa perkara berhubung Bajet 2018 Selangor seperti defisit dan juga rumah Felda.

Beliau berkata, segala tohmahan kononnya bajet kerajaan Persekutuan bersifat gula-gula PRU14, akhirnya terpercik ke muka mereka sendiri. 

“Azmin jelas terdesak mencipta imej populis, cuba lari dari bayangan Tan Sri Khalid Ibrahim serta cekap bermain dengan silat kata-kata.

“Selain dari meneruskan polisi sedia ada, boleh dikatakan tiada perkara baru yang diumumkan dalam pembentangan bajet ini,” ujarnya.

Budiman berkata, peruntukan keseluruhan Bajet 2018 negeri Selangor adalah berjumlah RM3.12 bilion dengan defisit berjumlah RM820 juta. 

“Jumlah defisit ini jika diukur adalah 26 peratus daripada keseluruhan bajet negeri serta 38 peratus tambahan dari jumlah anggaran hasil.

“Jumlah defisit Bajet 2018 kerajaan Persekutuan hanyalah pada kadar 14 peratus daripada  keseluruhan peruntukan,” katanya.

Katanya, apa yang menghairankan, pada saat pemimpin pembangkang mengkritik pentadbiran Persekutuan kerana membentangkan bajet defisit minggu lalu, kerajaan Selangor juga membuat perkara sama.

“Malah daripada kadar peratusan, jumlah defisit yang perlu ditanggung adalah jauh lebih tinggi dari defisit tanggungan kerajaan persekutuan. Adakah Adun Kajang (Datuk Seri Dr) Wan Azizah (Ismail) akan membangkitkan perkara ini dalam perbahasan minggu hadapan?

“Tindakan mereka mengkritik bajet defisit kerajaan Persekutuan terpalit ke muka mereka sendiri. Ia adalah tindakan yang hipokrit,” tambahnya.

Dalam pada itu, Budiman turut menyentuh mengenai janji kerajaan negeri untuk membina 136 unit rumah berkembar setingkat berhampiran Felda Sungai Tengi Selatan. 

“Perkara ini hanyalah ulangan janji yang dibuat Menteri Besar pada Januari 2016 ketika lawatan beliau ke Felda tersebut.

“Hanya selepas hampir dua tahun dan semakin hampir kepada Pilihan Raya Umum, barulah kerajaan negeri cuba memberi komitmen,” katanya.

Katanya, berbeza dengan kerajaan Persekutuan yang kini sedang giat membina rumah generasi kedua di seluruh negara, kerajaan negeri Selangor  pula menafikan permohonan dari Felda ini.