KOTA BHARU - Pas secara prinsipnya akan mengekalkan sumpah baiah kepada calon-calonnya yang akan bertanding pada PRU14 nanti.

Bagaimanapun Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, setakat ini perkara tersebut masih belum dibincangkan secara terperinci dengan Majlis Syura Ulamak.

Biarpun ada pihak menganggap baiah sudah lapuk namun katanya, setakat ini  berdasarkan situasi semasa ia masih lagi diperlukan tetapi keputusan muktamad berdasarkan ketetapan Majlis Syura Ulamak.

“Belum bincang secara khusus tetapi secara prinsipnya parti akan kekalkannya kepada semua calon,” katanya kepada Sinar Harian.

Terdahulu beliau menyampaikan kuliah  di Dataran Medan Ilmu  yang dihadiri kira-kira 1,000 penyokong parti itu.

Dalam pada itu, mengulas keperluan taklik talak tiga terhadap calon-calon di Kelantan pula beliau berkata, perkara itu pun belum dibincangkan.

“Pasal talak tiga di Kelantan saya tidak boleh komen panjang. Tak bincang lagi,” katanya.

Sebelum ini, Ketua Dewan Ulamak Pas, Datuk Dr Mahfodz Mohamed memberitahu parti itu dijangka menggugurkan sumoah baiah talak tiga yang perlu dilafaz calon pada PRU14.

Pas Kelantan juga sebelum ini menyerahkan kepada Majlis Syura Ulamak untuk membuat keputusan dan akan akur dengan  sebarang ketetapan.