RANTAU PANJANG - Pas menyerahkan kuasa kepada Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) untuk menentukan status taklik dua pemimpin parti yang melanggar lafaz bai’ah mereka.

Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, itu adalah kerana kedua-duanya, Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Kamaruddin Jaafar dan Ahli Parlimen Kuala Krai, Dr Mohd Hatta Ramli tidak menetap di Kelantan.

“Taklik terserah kepada pihak berkuasa agama tempat dia menetap. Kalau tinggal di Kelantan pihak berkuasa kita akan ambil tindakan.

“Kedua-dua pemimpin ini tidak menetap di Kelantan, kalau Dr Hatta dia menetap di Gombak, Kamarudin pula di Kuala Lumpur, jadi serah kepada jabatan agama di sanalah ambil tindakan,” katanya kepada media semalam mengulas status terkini taklik kedua-dua pimpinan yang berhijrah ke parti baharu.

Terdahulu beliau merasmikan Himpunan Istiqamah Sehingga Kemenangan Peringkat Kelantan di sini.

Kamaruddin dikatakan melanggar lafaz bai’ah dengan menyertai PKR manakala Mohd Hatta turut melanggar sumpah setia kepada parti setelah bersama Parti Amanah Rakyat (Amanah) sekali gus menimbulkan keraguan terhadap status perkahwinannya.