KUALA LUMPUR – Pemimpin muda Umno mengakui kesilapan kerana terlalu wala’ dan setia kepada pucuk pimpinan sebelum ini.

Calon Ketua Pemuda Umno, Khairul Azwan Harun, 42, atau lebih mesra disapa sebagai Azwan Bro membuat permohonan maaf secara terbuka kerana gagal menegur kepimpinan dan meminta penjelasan tentang perkara yang ingin diketahui oleh rakyat hingga mengakibatkan negara bertukar kerajaan.

“Memang sukar untuk kita mengakui kesilapan, manusia memang ada ego yang tinggi tapi kalau kita buat refleksi diri, kita akan sedar kesilapan. Satu perkara yang perlu dilakukan ialah mengakui kesilapan.

“Saya mengakui banyak kelemahan dalam soal menegur kepimpinan, menegur perkara yang rakyat mahu dengar daripada kepimpinan... mungkin saya terlepas pandang,oleh itu, saya mengemukakan permohonan maaf secara terbuka, mungkin kerana dasar kesetiaan, saya wala’ dan setia sangat hingga nasib sebegini menimpa Umno,” katanya ketika sidang media di Menara Dato’ Onn, hari ini.

Azwan Bro tanpa berselindung mengakui kesetiaan dan ketaatannya kepada kepimpinan Umno sebelum ini, tidak kena pada tempat.

“Jadi saya mohon maaf sekali lagi.Pemuda Umno perlu berani untuk menegur kerajaan, tapi dengan niat untuk menghasilkan kebaikan. Yakni dengan cara kita memberi nilai tambah dan cadangan untuk memperbaiki sesuatu masalah.

“Sebelum ini mungkin kita berasa kurang yakin kerana terlalu disekat dan ditahan tapi hari ini kita bangkit,” tegasnya.

Selaku calon Ketua Pemuda Umno, beliau menawarkan pembaharuan iaitu menetapkan had umur Ketua Pemuda dan Naib Ketua Pemuda Umno tidak melebihi 40 tahun.

Selain itu, katanya, had umur bagi keahlian Pemuda Umno tidak melebihi 35 tahun.

“Langkah ini bagi memastikan sayap Pemuda Umno dianggotai oleh ahli-ahli muda, segar dan diterima zaman,” ujarnya.

Khairul Azwan yang juga Senator Dewan Negara bercadang untuk memperkenalkan sistem undian di peringkat akar umbi bagi membolehkan setiap ahli Pemuda  memilih Ketua Pemuda dan calon-calon jawatan tertinggi sayap.

“Pendekatan ini bagi membasmi gejala budaya ‘warlord’, sifat angkuh dan amalan politik wang,” katanya.