"MELIHAT kepada struktur kepimpinan Pakatan Harapan, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali tidak layak untuk memegang jawatan sebagai Naib Presiden," demikian menurut Pensyarah Pusat Pengajian Antarabangsa Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani.

Beliau berpendapat, Mohamed Azmin tidak sesuai bergelar Naib Presiden dan jawatan itu harus diberikan kepada orang lain.

“Sejak awal lagi, jawatan itu tidak sesuai untuk beliau. Apa yang boleh saya katakan, Mohamed Azmin hanya layak menjadi Presiden parti.

“Inilah masanya untuk memberi peluang kepada orang muda memimpin. Beliau tidak layak diletakkan di situ. Seharusnya jawatan lebih tinggi,” katanya kepada Sinar Online.

Beliau berkata, Mohamed Azmin berjaya membawa perubahan semasa pentadbirannya, dan perkara itu harus dilihat dan dinilai sebaik-baiknya.

“Tidak hanya Pakatan Harapan, malah perkara sama boleh dilakukan di dalam BN juga. Hari ini, rakyat melihat Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin sahaja.

“Ramai yang suka dengan cara dua pemimpin muda ini yang nampak memahami jiwa anak muda hari ini. Kerana itu, saya katakan, corak kepimpinan sudah boleh berubah dan kepercayaan harus diberikan kepada orang muda,” katanya.

Beliau menambah, Malaysia boleh meniru beberapa kepimpinan negara lain seperti Perancis dan Kanada di mana kepimpinan tertinggi negara-negara itu diberikan kepada orang muda.

“Mereka berjaya membawa perubahan baharu dalam segi pentadbiran negara, malah ia memberi penambahbaikan.

“Malaysia juga boleh mengikut cara yang sama. Pemimpin lama boleh menjadi penasihat,” ujarnya.

Azizuddin berkata, pada PRU14 nanti, biarlah ia dimonopoli oleh orang muda sama ada untuk BN mahupun Pakatan Harapan.

“Sudah tiba masanya kita berubah mengikut arus semasa. Zaman sekarang bukan lagi seperti sebelum ini. Melihat senario kepimpinan negara hari ini, kepimpinan parti politik di negara ini harus diberikan kepada orang muda.

Beliau berkata, perubahan ini harus dilakukan untuk melihat Malaysia bergerak lebih jauh ke depan.

Sementara itu, Setiausaha Kluster Politik, Keselamatan dan Antarabangsa Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Datuk Dr Abdul Halim Sidek berpendapat, golongan muda yang menjadi faktor penentu boleh tidak keluar mengundi tanda protes jika perkara ini berterusan berlaku.

“PRU14 akan menyaksikan pengundi datangnya daripada orang muda, iaitu generasi Y. Jadi, kalau terus-terusan meletakkan calon ‘veteran’, boleh jadi, orang tak mahu keluar mengundi lagi.

“Generasi Y mahukan pemimpin muda, yang tahu perkembangan dunia dan semasa, yang tahu erti canggihnya dunia IT dan sebagainya.

“Paling penting corak kepimpinan mengikut keadaan sekarang di mana setiap lapisan masyarakat boleh berbeza pandangan namun masih dalam konteks membina,” katanya.

Beliau berkata, orang lama ini harus direhatkan daripada kepimpinan sebaliknya lebih layak menjadi penasihat.

“Ketengahkanlah orang muda. Ikutlah seperti saf solat. Apabila sampai waktunya, imam akan memilih orang muda untuk berada di saf hadapan yang menjadi gantinya.

“Mereka yang veteran duduk di saf belakang sambil memerhati dan perbetulkan jika terdapat kesilapan. Ikutlah sunnah sebaik-baiknya,” katanya.

Beliau berharap pemimpin lama tidak akan berkecil hati malah terus menyokong perubahan sebegini.

“Jangan sampai timbul lagi perkara sama seperti dulu di mana, setiap kali orang muda memberi pandangan, mereka disuruh duduk. Mahu bertanding, tidak dibenarkan dengan alasan mereka tidak punya pengalaman.

“Bagi saya, selagi orang muda ini mempunyai kelayakan, aktif dan mempunyai kualiti sebagai pemimpin, eloklah diketengahkan,” katanya.
 

 
Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • SHAH ALAM - Timbalan PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali enggan mengulas dakwaan Tan Sri Muhammad Muhamad Taib semalam bahawa keputusannya kembali menyertai Umno adalah disebabkan pembangkang tidak memperjuangkan agenda Melayu.
  • SHAH ALAM - Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menyifatkan tindakan berunding dengan Pas sebagai tepat.
  • SHAH ALAM - Pas Selangor hari ini mengumumkan untuk bertanding sekurang-kurangnya bagi 42 kerusi Dun Selangor pada PRU14 termasuk kerusi yang disandang Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Ismail (Dun Kajang) dan timbalannya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (Dun Bukit Antarabangsa).
  • PETALING JAYA - Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar hari ini mencabar Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali untuk berdebat mengenai pengurusan Projek Perumahan Rakyat (PPR).
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.