SHAH ALAM - Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menawarkan calon Perdana Menteri Pakatan Harapan Tun Dr Mahathir Mohamad untuk bertanding di kerusi Parlimen Gombak pada PRU14 nanti.

Menteri Besar Selangor itu berkata, beliau secara peribadi tiada masalah berbuat demikian, namun bergantung atas persetujuan parti.

"Saya bersedia memberi laluan kepada Tun Dr Mahathir di Parlimen Gombak sekiranya dipersetujui oleh PKR. Mari membingkai muafakat demi rakyat,” kata Azmin di akaun Twitter hari ini.

Gombak merupakan kerusi yang dimenangi Azmin pada PRU13 dengan majoriti 4,734 atau 51.4 peratus undi.

Selain Ahli Parlimen Gombak, Azmin juga merupakan Adun Bukit Antarabangsa.

Sebelum ini Mahathir yang juga merupakan Pengerusi Bersatu, membayangkan bahawa beliau akan bertanding pada PRU14 akan datang.

Mahathir berkata beliau mungkin bertanding di tiga kawasan ini (iaitu) Langkawi, Kubang Pasu dan Putrajaya.

[ARTIKEL BERKAITAN:Tun M mungkin bertanding pada PRU14]

Mahathir perlu bertanding dalam PRU14 bagi melayakkan beliau menjadi Perdana Menteri Pakatan Harapan seandainya Harapan menang dalam PRU itu nanti.

Sebelum ini, Mahathir merupakan Ahli Parlimen Kubang Pasu sejak 1974 hingga 2004.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :