CYBERJAYA - Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengakui Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sangat berkebolehan tetapi tidak terpilih sebagai sebagai calon Perdana Menteri  sekiranya Pakatan Harapan memenangi PRU14.

Dr. Mahathir yang juga Pengerusi Bersatu berkata, beliau sendiri tidak tahu sama ada beliau berkebolehan atau sebaliknya bagi menggalas jawatan pemimpin nombor satu negara itu namun telah dipilih sebagai calon oleh kepimpinan Harapan.

"(Mohamed)  Azmin sangat berkebolehan tetapi tidak terpilih (sebagai calon Perdana Menteri). Bukan sahaja berkebolehan tetapi anda mesti terpilih. Saya tidak tahu sama ada saya berkebolehan tetapi mereka memilih saya," katanya kepada pemberita selepas Forum Bicara Wawasan 2020 di sini hari ini.

Mahathir berkata demikian ketika ditanya mengapa beliau tidak mencalonkan pemimpin seperti Mohamed Azmin untuk menjadi perdana menteri jika benar beliau enggan memegang kembali jawatan itu.

[ARTIKEL BERKAITAN: ‘Saya OK jadi PM tak sampai sepenggal’]

Semalam, Dr. Mahathir mendakwa beliau tidak mahu menjadi perdana menteri jika pakatan pembangkang menang PRU-14, sebaliknya diminta untuk menjawat jawatan itu.

Nama beliau diumumkan sebagai calon perdana menteri sementara pada Konvensyen Pakatan Harapan 2018, minggu lalu, manakala Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail diumumkan sebagai calom timbalan perdana menteri.

Keputusan tersebut dicapai dalam Mesyuarat Majlis Presiden yang diadakan pada 6 Januari lalu.