KANGAR - Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man hari ini bersetuju dengan kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bahawa kerajaan kini menanggung pelbagai masalah disebabkan pemimpin terdahulu.

Beliau berkata, antara beban besar yang terpaksa ditanggung Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ialah untuk menyelamat dan membantu Proton hidup semula.

“Banyak masalah timbul khususnya ketika zaman pemerintahan Tun Dr Mahathir Mohamad... perdana menteri terpaksa menanggung ‘warisan’ yang ditinggalkan itu,” katanya selepas merasmikan Program Jom JPJ peringkat negeri di sini, hari ini.

Semalam, Abdul Hadi dilaporkan berkata, masalah ekonomi yang dihadapi negara, sa­ma ada melibatkan kerajaan atau rakyat adalah peninggalan kepemimpinan yang kini berada dalam Pakatan Harapan diketuai DAP.

Abdul Hadi berkata, Umno yang memimpin kerajaan hari ini terpaksa memikul permasalahan yang dibuat oleh golongan tersebut yang memerintah negara sewaktu 80-an.

Dalam pada itu, Azlan yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri berkata, pendekatan populis yang digunakan pembangkang khusus dalam manifesto mereka bakal menyebabkan negara berdepan pelbagai masalah yang kemudiannya akan kembali kepada rakyat.

“Pendekatan populis yang diamalkan mereka menampakkan semua perkara dilaksanakan nampak baik, hakikatnya ia sukar direalisasikan.

“Kita lihat perdana menteri, beliau benar-benar menunjukkan prestasi kerajaan sekarang ini, beliau berusaha untuk membantu negara dan menjadikan negara ini kembali maju dan berdaya saing serta berbakti kepada rakyat,” katanya. - Bernama