SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Bekas Naib Ketua Puteri Umno, Datuk Zahida Zarik Khan disahkan menang jawatan Ketua Puteri Umno dalam Pemilihan Umno 2018 yang berlangsung semalam.

Sementara bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki pula diumumkan secara tidak rasmi memenangi pemilihan itu menewaskan lapan saingannya.

Keputusan itu diumumkan melalui ciapan di laman Twitter Pemilihan Umno 2018, sebentar tadi.

“Secara rasminya, Datuk Zahida Zarik Khan adalah Ketua Puteru Umno yang baharu buat penggal 2018-2021.Tahniah diucapkan kepada saudari Zahida atas kemenangan beliau dan selamat menjalankan tugas tang baharu.

“Secara rasminya, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki adalah Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia yang baru buat penggal 2018-2021." Tahniah diucapkan kepada DAWD atas kemenangan beliau dan selamat menjalankan tugas yang baru." katanya.

Sementara bekas Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Ab Aziz Kaprawi mengucapkan tahniah kepada Asyraf Wajdi atas kemenangan itu.

“Tahniah Dr Asyraf Wajdi atas kemenangan untuk Ketua Pemuda Umno. Suara anak muda jelas mahukan pendekatan baru dalam perjuangan Umno” tulisnya di laman Twitter.

Sehingga awal pagi tadi, kedudukan semasa menunjukkan Asyraf Wajdi menang 73 undi bahagian meninggalkan pencabar terdekatnya, Khairul Azwan Harun dengan 58 undi dan Mohd Shahar Abdullah dengan 56 undi.

Manakala bagi kerusi Puteri Umno pula Zahida terus selesa meninggalkan Nor Hazreena Mohamad Hashim dengan 73 undi berbanding sembilan diperolehi pencabarnya itu.

[ARTIKEL BERKAITAN: Keputusan pemilihan sayap Umno 5 petang]

Bagi kerusi Wanita pula difahamkan saingan sengit di antara Datuk Dr Noraini Ahmad dan Datuk Azizah Mohd Dun.

Menurut Setiausaha Kerja Umno, Datuk Ab Rauf Yusoh, keputusan rasmi hanya akan diumumkan jam 5 petang hari ini.