SHAH ALAM - Pelantikan tiga figura bukan Islam mengepalai sektor judisiari dalam negara ini adalah 'hasil daripada apa yang rakyat mahu'.

Pandangan itu disuarakan Ketua Pemuda Umno Malaysia, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, ketika dihubungi Sinar Harian, hari ini.

[ARTIKEL BERKAITAN: Richard Malanjum Ketua Hakim Negara baharu]

[ARTIKEL BERKAITAN: Umno setuju lantik Tommy Thomas]

Bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) itu bagaimanapun mengambil pendekatan menghormati keputusan kerajaan melantik ketiga-tiga individu itu.

"Bagi saya itu adalah hak kerajaan sedia ada untuk lantik siapa saja menjadi Hakim Negara dan sebagainya. Ia menzahirkan citra Malaysia baru yang dibawa oleh kerajaan sekarang.

"Jadi kita harus hormati, saya hormati. Itu citra kerajaan dan kerajaan sedia ada hasil daripada apa yang rakyat nak," katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Pas Pusat melalui Ketua Penerangannya, Nasrudin Hasan yang melahirkan keresahan berhubung pelantikan Richard Malanjum sebagai Hakim Negara, Tommy Thomas (Peguam Negara) dan Datuk Liew Vui Keong (Menteri Undang-undang).

Dalam kenyataan tersebut, Nasrudin turut mempersoalkan adakah masa depan Islam akan terus terbela di bumi Malaysia.

Selepas kekalahan BN dalam PRU14, banyak keputusan kerajaan Pakatan Harapan dipertikaikan terutamanya melibatkan kepentingan orang Melayu dan agama Islam.

Pelantikan Richard sebagai Ketua Hakim Negara yang baru dijangka mencetuskan perdebatan hangat selepas perkara sama turut berlaku semasa pelantikan Tommy, baru-baru ini.