SHAH ALAM - Presiden PKR, yang baharu dinobatkan, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak akan berkompromi dengan anggota parti yang tidak berdisiplin sehingga memecah belahkan perpaduan parti.

Anwar, 71, yang menang tanpa bertanding menggantikan Datuk Seri Dr Wan Azizah berkata beliau tidak akan teragak-agak untuk membuang anggota parti yang didapati menimbulkan masalah sedemikian seperti mana didakwa berlaku semasa proses pemilihan parti yang baharu selesai.

Bekas ketua umum parti itu akui kelemahan sistem pemilihan yang disebabkan antara lain masalah teknikal, namun menurutnya wujud juga dakwaan insiden sehingga berlakunya pergaduhan dalam kalangan anggota.

“Semangat perpaduan (harus dicontohi), sepertimana ditunjuk Rafizi (Mohd Rafizi Ramli) dan Azmin (Datuk Seri Mohamed Azmin Ali), tetapi macai-macai di bawah teruk, itu masalahnya.

“Jangan jadi perkakas bawahan yang kerjanya mencucuk… orang seperti ini tak layak jadi anggota Keadilan (PKR),” katanya dalam ucapan penangguhan Kongres Nasional PKR ke-13 di sini, hari ini.