KOTA KINABALU - Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata penangguhan pemilihan jawatan parti itu di beberapa negeri semalam dan hari ini adalah bagi memastikan pemilihan itu bersih.

Katanya dengan penangguhan itu, ia akan memberi ruang kepada jawatankuasa pemilihan parti bagi memperbaiki sebarang kelemahan yang ada.

“Ada kelemahan-kelemahan dalam pemilihan, sebab itu (ada negeri ditangguh) Kedah semalam dan hari ini Perak bagi memastikan pemilihan itu bersih… Saya punya jawapan, orang yang baling kerusi itu, saya akan ‘baling’ keluar dari parti,” katanya.

Anwar berkata demikian semasa berucap pada Majlis Sambutan Hari Malaysia 2018 anjuran PKR API-Api di sini hari ini. Turut hadir ialah Pengerusi PKR Sabah yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah Christina Liew.

Semalam diumumkan, proses pengundian bagi pemilihan PKR di empat negeri iaitu Perlis, Perak, Negeri Sembilan dan Melaka ditangguh ke tarikh lain yang akan ditentukan kemudian berikutan beberapa masalah yang dihadapi ketika proses pengundian berlangsung di Pulau Pinang dan Kedah semalam.

Pengumuman itu dibuat oleh Setiausaha Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) PKR Ismail Yusop.

Ismail berkata proses pengundian akan bermula pada 30 Sept di Johor seperti ditetapkan JPP, iaitu selepas penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil Parlimen Port Dickson.

Demikian juga tarikh pengundian bagi Negeri Sembilan dan Melaka.

Anwar menegaskan, pemilihan jawatan dalam PKR sekarang merupakan perlawanan dalam keluarga dan setiap ahli parti mempunyai satu undi dan berhak untuk mengundi sesiapapun pemimpin yang terbaik untuk menjadi pemimpin dalam PKR.

Bercakap kepada pemberita selepas menyampaikan pidato umum bertajuk “Membina dan Merealisasikan Ideologi Kesatuan Bangsa”,  pada Seminar Malaysia Baharu, Anwar berkata penangguhan itu ialah untuk memantapkan sistem pemilihan yang ada.

Beliau berkata beliau tidak mahu ada kecelaruan berhubung sistem pemilihan itu dan JPP PKR sudah diarah memperbaiki kelemahan itu.

Sementara itu, pagi tadi Anwar mengadakan kunjungan hormat kepada Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin di Istana Negeri. - Bernama