BANGI - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan kemenangan Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail di PRK Dun Kajang sebagai 'signal' yang cukup baik kepada Pakatan Rakyat.

Jelasnya, 'signal' tersebut merujuk kepada pertambahan undi Melayu kepada Wan Azizah, sekali gus membuktikan bahawa Melayu kembali berpaut kepada PR.

"Saya bersyukur, Alhamdulillah bangga  kerana prestasi kita lebih baik iaitu peratusan undi kepada Wan Azizah meningkat, berbanding tahun-tahun yang lalu iaitu meningkat sebanyak dua peratus.

"Ini merupakan satu kelazatan kemenangan dan lebih manis apabila majoriti Melayu undi kak Wan dan  saya ingat ini merupakan satu 'signal' yang cukup baik untuk kita (PR)," katanya selepas pengumuman Wan Azizah sebagai pemenang Dun Kajang di Kompleks Sukan Bandar Baru Bangi, malam tadi.

Keputusan PRK Dun Kajang menyaksikan ia kekal milik PKR setelah calonnya, Wan Azizah menewaskan calon BN, Datin Paduka Chew Mei Fun dengan majoriti 5,379 undi.

Keputusan PRK Dun Kajang diumumkan oleh Pegawai Pengurus PRK Dun Kajang N25, Datuk Hassan Nawawi di Stadium Majlis Perbandaran Kajang , Bandar Baru Bangi pada jam 9.12 minit malam dengan Wan Azizah meraih undi sebanyak 16,741 manakala Mei Fun sekadar mendapat 11,362 undi.

Kemenangan tersebut mengulangi keputusan pada PRU13 lalu apabila PKR menang dengan majoriti 6,824 undi.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.