KUALA LUMPUR - Ketua Umum PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim diramalkan bakal bertanding di kerusi Lembah Pantai dalam pilihan raya kecil (PRK) untuk membolehkannya kembali ke Parlimen.

Penganalisis politik, Dr Kamarul Zaman Yusoff berkata, adalah sangat menarik jika ia berlaku kerana ia akan membuktikannya bahawa beliau bukanlah seorang penakut yang hanya mencari kawasan selamat sekali gus akan benar-benar menguji keampuhan kerjasama Umno dan Pas.

“Lembah Pantai milik Fahmi Fadzi adalah satu kerusi di tengah Kuala Lumpur yang sangat berpotensi untuk dikosongkan oleh PKR.

“Ini juga berkemungkinan kerana kawasan tersebut sebelum ini adalah milik Nurul Izzah iaitu anak kepada Anwar di mana ianya sekarang milik Fahmi yang dulunya adalah Setiausaha Politik kepada Nurul,” katanya dalam kenyataan yang dimuat naik menerusi Facebook miliknya, hari ini.

Beliau berkata, kawasan itu juga strategik memandangkan lokasi Lembah Pantai juga berdekatan dengan kediaman Anwar yang terletak di Segambut.

“Selain itu ia juga berdekatan dengan Putrajaya yang merupakan pusat pentadbiran negara dan Parlimen sebagai pusat perundangan negara.

“Lagi pun, Pengerusi PKR Kuala Lumpur adalah Dr Idris Ahmad iaitu daripada team Rafizi Ramli,” katanya.

Jelasnya, sebelum ini terdapat spekulasi mengatakan bahawa Anwar akan bertanding sama ada di Sungai Petani, Permatang Pauh atau Nibong Tebal, namun Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail, telah mengesahkan kerusi bakal dikosongkan bukan di utara.

”Pengesahan itu menyebabkan dua kerusi lain menjadi tumpuan perbincangan, iaitu Selayang milik William Leong Jee Keen di tengah Selangor atau Port Dickson milik Datuk Danyal Balagopal Abdullah di selatan Negeri Sembilan.

“Masih ada juga yang berspekulasi bahawa kerusi bakal dikosongkan adalah Pandan milik Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail tetapi bagi tujuan strategik, ini amat sukar berlaku, apatah lagi bila Wan Azizah dan Saifuddin turut menafikannya,” katanya.