SETIAWANGSA – Dalam usaha menyiapkan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengambil alih posisi Perdana Menteri kelapan, beliau memerlukan sebuah pasukan yang mantap.

Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad berpendapat gandingan Anwar dan calon Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli paling serasi untuk membantu proses peralihan kuasa antara Tun Dr Mahathir Mohamad kepada Anwar.

“Sebagai calon Perdana Menteri kelapan, Anwar memerlukan satu pasukan yang mantap untuk bersama-sama beliau selaku Presiden PKR dalam proses peralihan kuasa tersebut.

[ARTIKEL BERKAITAN: Pengalaman Azmin beri kelebihan tewaskan Rafizi]

“Saya tidak kata Menteri Hal Ehwal Ekonomi yang juga penyandang Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali itu tidak bagus, tetapi saya percaya Rafizi lebih baik,” kata Nik Nazmi ketika ditemui di pejabatnya di sini, semalam.

Beliau yang juga calon Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR mengakui proses pemilihan yang bersandarkan demokrasi ini adalah sesuatu yang serabut dan bising, namun demokrasi diperlukan dalam perjalanan politik.

Menurutnya, umum maklum, Anwar telah menang tanpa bertanding sebagai Presiden PKR kerana tiada pencabar, namun isu utama yang menjadi perhatian dalam Pemilihan PKR 2018 ialah perebutan posisi Timbalan Presiden antara Mohamed Azmin dan Rafizi.

Timbul juga cakap-cakap belakang yang mendakwa sekiranya, Mohamed Azmin menang dalam pertempuran tersebut, PKR akan berubah 360 darjah manakala jika Rafizi pula menang, parti reformasi itu bakal berpecah.

Bagaimanapun, Nik Nazmi menyatakan, PKR tidak pernah takut dan malu untuk membuat sesuatu keputusan yang sukar.

“Saya percaya Rafizi adalah lebih baik,  kami (PKR) tidak takut untuk mempertaruhkan beliau hanya kerana menyimpan bimbang tindakan itu akan memecahkan parti.

“Kerana bagi saya keutamaan parti ialah untuk mempunyai seseorang yang terbaik untuk posisi itu (Timbalan Presiden). Bahkan, PKR tidak pernah malu mahupun bimbang  untuk buat keputusan yang sukar,” tegasnya.

Dalam pada itu, beliau berpendapat adalah lebih baik PKR melakukannya sekarang apabila kerajaan telah bertukar tangan kepada PH.

“Sebab bagi saya, tak kira siapa menang atau siapa kalah, PKR akan tetap diteruskan.

“Jangan takut untuk kalah, jika setia kepada parti beliau akan tetap bersama. Tak kira pegang jawatan menteri atau tidak.

“Malah saya juga tidak nampak ini isu besar kepada Mohamed Azmin, kerana beliau bersama PKR sejak ditubuhkan lagi, jadi tiada isu,” ujarnya lagi.

Nik Nazmi juga yakin PKR tidak akan berpecah atau berubah kerana parti itu telah memiliki jenamanya tersendiri.

“PKR akan kekal walau siapa pun yang menang, PKR bukan parti Rafizi, bukan parti Mohamed Azmin malah bukan juga parti Anwar, ia satu jenama yang telah wujud sekian lama.

“Tak timbul isu kononnya jika Mohamed Azmin tewas, jawatannya sebagai Menteri Kabinet akan diganti, kerana selagi beliau layak dan berkeupayaan mengendalikan jawatan tersebut, ia akan kekal,” tambahnya.

Menurut beliau, persaingan tetap persaingan dan demokrasi tetap demokrasi dan ia akan berterusan.

“Tidak ada demokrasi yang tenang, ia tetap berlaku dalam keadaan tegang.

“Masalah ialah orang tak boleh terima denmokrasi, kalau kalah kena bawa diri, bagi saya itu tanggapan negatif.

“Kita tak boleh ada anggapan kalau calon itu kalah dia akan keluar parti, itu dia yang tak kena,” sindirnya.

Dalam perkembangan lain, Nik Nazmi turut membidas kenyataan Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin yang mengkritik keputusan kepimpinan PKR menjalankan Langkah Port Dickson (PD) yang disifatkan sebagai tidak telus dan tidak melibatkan musyawarah keseluruhan anggota parti.

Katanya, PKR telah mengadakan Mesyuarat Biro Politik pada malam sebelum pengumuman dan beliau tidak pasti sama ada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu hadir atau tidak.

“Dalam mesyuarat itu, Anwar tidak ada, Mohamed Azmin pun tidak hadir kerana urusan di luar negara.

“Anwar bertanding dalam PRK Port Dickson kerana menunaikan salah satu janji manifesto PH iaitu untuk menjadi Perdana Menteri kelapan, jadi PRK itu platformnya.

“Zuraida tidak patut mempersoalkan sedemikian, sebaliknya kena sama-sama kerja keras untuk menjayakan Langkah PD ini agar Anwar menang, berbanding mengeluarkan kenyataan perkara itu tidak dibincang dan sebagainya,” katanya.