PEKAN - Pemimpin Umno perlu buang sikap angkuh dan  segala unsur negatif untuk kembali memenangi hati golongan muda.

Anak kepada mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, Datuk Mohd Nizar Najib berkata, itu yang perlu dilakukan dalam memastikan Umno kembali relevan seperti sebelum ini.

“Kini apa yang perlu kita lakukan ialah membuang sikap angkuh, politik wang serta segala unsur negatif untuk kembali memenangi hati golongan muda.

“Saya merasakan sokongan dan semangat pemimpin Umno masih kuat dan tidak terhenti.. malah mereka memberikan komitmen yang cukup baik untuk membuktikan Umno masih relevan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Persidangan Perwakilan Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Pekan di Dewan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang  (Muip), hari ini.

Pada majlis itu, seramai kira-kira 500 ahli yang hadir bagi membuang undi untuk memilih perwakilan Umno yang baharu.

Dalam pada itu, beliau menyeru ahli Umno dan pergerakan pemuda bahagian Pekan khususnya untuk bersatu dan bekerjasama, selain mendengar suara hati anak muda dan cuba untuk mengikutinya.

“Apabila kita kalah ia sesuatu yang kita tidak mahukan tetapi mungkin baik bagi kita... jadi sekarang kita perlu menjadi pembangkang yang berwibawa.

“Umno perlu menjadi pembangkang yang berwibawa yang mampu membawa masalah rakyat di Parlimen,” katanya.

Menyentuh mengenai kemenangannya, Mohd Nizar menzahirkan rasa syukur kerana terpilih memegang jawatan itu.

Beliau berazam membawa Umno ke martabat yang sepatutnya.

Mohd Nizar Najib dilantik sebagai Ketua Pemuda Umno Pekan yang baharu, selepas beliau disahkan menang tanpa bertanding.