Di Negeri Sembilan, N14 Ampangan merupakan antara 'kerusi panas' menjelang PRU14.

Terletak dalam Parlimen Seremban, Dun Ampangan yang majoritinya penduduk Melayu merupakan kerusi yang menjadi rebutan parti-parti.

Bukan sahaja BN yang mahu mengekalkan kerusi berkenaan selepas menang pada PRU13 menerusi calonnya, Datuk Abu Ubaidah Redza, malah parti dalam Pakatan Harapan dan Pas juga sedang memerhatikan kerusi berkenaan.

Manakan tidak, calon PKR,  Rashid Latiff mengejutkan orang ramai apabila menang di situ pada PRU12 namun dengan majoriti hanya 165 undi.

Bagaimanapun, kerusi berkenaan kemudian dirampas kembali BN pada PRU13, kali ini dengan majoriti yang lebih tipis, 89 undi.

Atas kerana itu, tidak hairanlah ramai yang sudah berangan-angan untuk bertanding di kawasan berkenaan kerana peluang untuk menang sama ada BN dan pembangkang, adalah 50-50.

Walaupun pada asalnya Pakatan Harapan telah memutuskan untuk memberi kerusi Dun Ampangan kepada PKR, tetapi Parti Bersatu juga berhasrat untuk bertanding di kerusi berkenaan.

Sebelum ini, Bersatu telah berikrar dan nekad untuk mendapatkan kerusi di Dun Ampangan, selain tiga Dun lagi iaitu Paroi, Linggi dan Labu.

Menurut Bersatu, mereka boleh berikan kemenangan kepada Pakatan Harapan sekiranya calon mereka bertanding di empat kerusi tersebut termasuk Dun Ampangan.

Secara dasarnya atas kertas, kenyataan itu boleh dianggap logik kerana sebahagian besar ahli Bersatu sebelum ini merupakan ahli Umno. Dan sudah tentu ada antara mereka pada PRU lalu mengundi BN di Dun Ampangan.

Sekiranya orang yang sama mengundi, sudah tentu kali ini mereka memilih Bersatu.

Namun, keputusan PRU13 tidak boleh dijadikan penanda aras pencapaian BN di Dun Ampangan. Kerana ada juga yang berkata, kemenangan Abu Ubaidah adalah disebabkan PKR meletakkan calon yang salah pada PRU13 lalu.

Disebabkan itu, wujudnya  undi protes.

Perbalahan dan pembahagian kerusi Dun dalam Pakatan sehingga kini masih lagi berlaku serta tiada kata muktamad, walaupun pucuk pimpinan pusat mereka sudah memutuskannya.

Tidak mustahil, pada PRU14 nanti, Dun Ampangan dijangka akan menerima perlawanan tiga penjuru - antara BN, PKR dan Bersatu. Atau mungkin ada calon Bebas.

BN diramal akan mengekalkan Abu Ubaidah memandangkan trek rekod dan reputasinya yang cemerlang sepanjang tempoh lalu.

Tiada banyak isu yang timbul di Ampangan, malah kawasan semakin membangun dengan pembinaan bangunan UTC di Ampangan.

Kewujudan UTC Ampangan sedikit sebanyak menaikkan imej BN dari mata masyarakat.

Bagaimanapun, jangan pula dilupakan dengan Pas. Parti ini nampaknya lebih banyak mendiamkan diri dan bergerak secara underground.