KUALA LUMPUR - Ramai pimpinan Umno disiasat di bawah Akta Pencegahan Pe­ngubahan Wang Haram dan Pen­cegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (Amla) dakwa Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Lokman Noor Adam.

Menurut Lokman, akta itu digunakan bagi menakut-nakutkan pimpinan parti.

“Hari ini Amla digunakan untuk menakut-nakutkan dan mengugut terutamanya mereka yang terima dana daripada Datuk Seri Najib Razak (bekas perdana menteri) dan Umno. Amla hari ini adalah ISA yang baharu.

“Kita lihat hari ini ahli-ahli Parlimen Umno disiasat sebagai contoh Tok Pa (Datuk Seri Mustapa Mohamed) disiasat tiga hari berturut-turut sedangkan beliau tidak melakukan kesalahan. Beliau cuma menerima duit contohnya duit untuk kebajikan Orang Asli jadi apa salahnya sebagai ahli Parlimen beliau menerima duit daripada perdana menteri untuk tujuan itu?,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Namun Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menafikan dakwaan pihaknya telah memanggil anggota Parlimen Jeli, Mustapa bagi memberi keterangan berhubung dana yang diterimanya untuk parti.

ARTIKEL BERKAITAN: Najib tidak mengaku salah 25 pertuduhan]

Hari ini, Najib didakwa buat kali ketiga di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur terhadap 25 pertuduhan termasuk empat pertuduhan rasuah dan 21 pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram membabitkan sejumlah hampir RM2.3 bilion.

ARTIKEL BERKAITAN: SPRM nafi panggil Tok Pa kes dana parti]

Dalam pada itu, Lokman turut mempertikaikan tindakan kerajaan yang bertindak tidak mengikut undang-undang dalam mendakwa Najib.

“Pendakwaan hari ini (semalam) berlaku sebaik sahaja Datuk Seri Najib membuktikan bahawa duit RM2.6 bilion yang diperkatakan dicuri dari 1MDB ini sebenarnya datang daripada seorang putera dan kerajaan Arab Saudi.

“Beliau didakwa dahulu, kemudian baru nak siapkan kertas siasatan. Inilah undang-undang hutan zaman Tun Mahathir,” katanya.

Dalam pada itu beliau turut melahirkan kebimbangan sekiranya kerajaan bertindak tanpa mengikut undang-undang.