SHAH ALAM - Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari masih belum memikirkan sama ada bakal bertanding dalam pemilihan parti PKR ketika ini, sebaliknya mahu menumpukan kepada tugasan dan tanggungjawab sebagai menteri besar.

Katanya, soal pemilihan parti akan diumumkan bila tiba masanya, namun memberikan bayangan bukan dalam tempoh waktu terdekat.

"Mengenai pilihan raya PKR, belum masanya untuk saya umum, insyaALLAH sampai masanya nanti saya umum.

"Masa sekarang ini, saya lebih tumpukan kepada tugas saya sebagai menteri besar selepas dilantik tempoh hari," katanya kepada pemberita ketika hadir ke Majlis Penyerahan Insentif Haji Muassasah Dun Sg Kandis di Masjid An-Naim Kg Batu 7, semalam.

Selain itu, menjawab soalan pemberita mengenai kebarangkalian Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali untuk bertanding jawatan Presiden, Amirudin berkata perkara itu terpulang kepada Mohamed Azmin.

"Bertanding presiden atau kekal jawatan sekarang, itu terpulang kepada keputusan beliau (Mohamed Azmin), namun saya percaya ia juga akan bergantung kepada pengumuman-pengumuman terkini dan situasi semasa.

"Apa pun, PKR sebuah parti paling demokratik dalam negara kita, parti pertama yang menganjurkan pilihan raya parti secara terus.

"Walaupun banyak pihak yang pertikai kenapa kita pilih cara itu namun hasilnya kita dapat lihat sekarang, majoriti PKR, adalah parti terbesar dalam Harapan, kita dapat lihat nilai demokrasi itu kekal subur dalam PKR," katanya.