KUANTAN - Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob memberi amaran tegas kepada Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Semambu Lee Chean Chung yang membuat tuduhan tidak berasas terhadap beliau berhubung isu penjualan pusat beli-belah East Coast Mall (ECM) di sini, kepada sebuah syarikat dari Singapura.

Adnan menegaskan beliau akan menyaman Adun daripada PKR itu sekiranya terus mengaitkan dirinya dalam isu penjualan pusat beli-belah berkenaan, sambil kecewa dengan tuduhan Lee itu seolah-olah beliau seorang yang mengamalkan rasuah.

"...kalau macam itu lapor sahajalah kepada SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia). Andaian tersebut memberi persepsi negatif dan pada masa sama membuktikan kerja pembangkang suka menyebarkan pembohongan.

"Oleh itu, sekiranya (Adun) Semambu terus mengulangi tuduhan ini di luar dewan (Persidangan Dewan Undangan Negeri Pahang), saya akan saman," katanya ketika menggulung titah Pemangku Raja Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Pahang di sini hari ini.

Baru-baru ini, Lee yang juga Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK)  memuat naik status dalam akaun Facebooknya  dengan mendakwa ECM dijual kepada syarikat Singapura dan mengaitkan Adnan dalam isu penjualan pusat beli-belah itu kepada negara asing, dengan menimbulkan persepsi negatif terhadap menteri besar itu.

Mengulas lanjut, Adnan berkata syarikat dan agensi kerajaan dari Malaysia turut mempunyai pegangan saham dalam CapitaLand Malaysia Mall Trust yang merupakan pemilik pusat beli-belah itu.

Beliau berkata Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) juga mempunyai pegangan saham 9.8 peratus, manakala Amanah Saham Bumiputera (ASB) pula 10 peratus pegangan saham dalam CapitaLand Malaysia Mall Trust.

Sehubungan itu, Adnan mengingatkan Lee agar terlebih dahulu mendapatkan fakta yang tepat sebelum membuat tuduhan tidak berasas secara melulu kepada dirinya dan juga kerajaan negeri.

Dalam pada itu, katanya dengan bantuan kewangan sebanyak RM5 juta daripada kerajaan Pusat, masalah bekalan air di Loji Rawatan Air Sungai Bilut di Raub, dijangka dapat diselesaikan dalam tempoh tiga bulan akan datang.

Persidangan ditangguhkan ke satu tarikh yang akan ditetapkan kelak. - Bernama

www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.