SANDAKAN - Parti Amanah Sabah menerima sambutan baik daripada rakyat di negeri ini berikutan peningkatan jumlah individu yang memohon untuk menyertai parti itu.

Pengerusinya, Haris Alimudin berkata Amanah kini mempunyai 10,000 ahli dan 200 cawangan di negeri ini berbanding hanya 1,000 anggota dan lima cawangan pada awal penubuhannya.

Katanya sebelum ini, Amanah hanya dipandang sebagai sebuah parti kecil di negeri ini tetapi kini dibawah kerajaan negeri Sabah diterajui Parti Warisan Sabah (Warisan) sudah tentu Amanah mahu memainkan peranan penting terhadap perkara yang diperjuangkan oleh Warisan.

"Ini kerana, Amanah juga memperjuangkan perkara yang sama oleh Warisan termasuk hak-hak Sabah dibawah Perjanjian Malaysia 1963," katanya pada Majlis Penyerahan Borang Pendaftaran Keanggotaan   Amanah Bahagian Sandakan di sini, semalam.

Pada majlis itu, anggota jawatankuasa pusat Amanah yang juga Ketua Penerangan Wanita Pakatan Harapan Senator Raj Munni @ Aiman Athirah Sabu menerima borang keanggotaan  seramai 1,000 orang daripada wakil anggota baharu Mahalil Mutalib.

Menurutnya permohonan anggota baharu menyertai Amanah termasuk di negeri ini semakin meningkat selepas kerajaan negeri Sabah diterajui Warisan dan kerajaan pusat dibawah PH.

Dalam pada itu, Raj Munni ketika ditemui pemberita selepas majlis itu berkata keyakinan rakyat diberikan kepada Warisan dan PH untuk mentadbir di peringkat negeri Sabah dan kerajaan pusat tidak boleh disia-siakan.

Katanya ini memerlukan pemimpin yang diberi kepercayaan lebih proaktif  turun kepada rakyat dan bukan hanya pada program rasmi bersikap protokol.

Menurutnya kerajaan yang ada pada masa sekarang perlu berterusan dan bukan hanya untuk lima tahun atau satu penggal tetapi untuk seterusnya membangunkan negeri ini dan negara.- Bernama