KUALA TERENGGANU - Bekas Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said dan anggota Dewan Undangan Negeri Ajil, Ghazali Taib mengisytiharkan keluar daripada Umno dan bertindak sebagai wakil rakyat Bebas.

Ahmad yang juga Adun Kijal dalam salinan surat bertarikh 12 Mei yang dihantar kepada Bernama awal pagi ini berkata: "Dimaklumkan bahawa saya dengan ini meletakkan jawatan saya dalam parti berkuat kuasa serta merta."

Beliau dan Ghazali juga mengisytiharkan keluar daripada Umno dan menjadi wakil rakyat bebas masing-masing bagi kawasan Kijal dan Ajil.

Kedua-dua surat itu dihantar kepada Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan salinan kepada speaker Dewan Undangan Negeri Terengganu.

Semalam Ahmad meletak jawatan sebagai Menteri Besar Terengganu. Menteri Besar Terengganu yang baharu Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman mengangkat sumpah memegang jawatan di hadapan Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin di Istana Syarqiyyah di sini malam tadi.

Ahmad pertama kali dilantik sebagai Menteri Besar Terengganu pada 23 Mac 2008 dan dilantik semula memegang jawatan itu pada 9 Mei tahun lalu selepas pilihan raya umum ke-13.

Beliau mengumumkan meletak jawatan sebagai menteri besar pagi semalam selepas berjumpa dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Dengan perkembangan terbaharu ini, Barisan Nasional kini menguasai 15 kerusi daripada 32 kerusi Dewan Undangan Negeri Terengganu, PAS memiliki 14 kerusi, PKR (1) dan Bebas (2). - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :