TAMPIN - Slogan Umno ‘Bersatu, Bersetia, Berkhidmat’ diperlu digenggam kemas oleh seluruh anggota parti bagi memastikan parti terus kekal relevan pada masa akan datang, kata Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Luar berkata dalam keadaan landskap politik yang mencabar ketika ini, ketiga-tiga perkataan yang membentuk slogan itu sangat penting untuk dihayati dan diamalkan setiap anggota supaya ia dapat diterjemahkan dalam bentuk gerak kerja yang akhirnya mampu dirasai pengundi.

"Bersatu adalah yang paling asas (dalam membentuk sebuah parti), tetapi kalau hanya ada semangat bersatu tanpa kesetiaan, akhirnya kesatuan itu tidak akan berkekalan.

“Tetapi kalau kita bersatu, bersetia, tetapi kita tidak melakukan kebaikan kepada orang, macam mana kita nak jadi relevan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno Bahagian Tampin di sini, hari ini.

Seramai kira-kira 700 perwakilan hadir pada persidangan itu.

Reezal Merican berkata bagi meraih sokongan rakyat, Umno sebagai parti tunjang Barisan Nasional  (BN) dan wadah perjuangan orang Melayu perlu terus dilihat sebagai medium penyelesai masalah rakyat.

"Kalau pemimpin dan ahli Umno tak turun padang dan memberi penjelasan mengenai isu-isu yang menjadi keresahan rakyat, akhirnya Umno lama-kelamaan dilihat sebagai bisu dan wadah yang tidak lagi mempunyai lidah untuk bercakap tentang keperluan rakyat.

“Akhirnya mereka akan lari dan tidak lagi melihat Umno sebagai relevan untuk mereka gunakan sebagai landasan untuk menyalurkan sokongan mereka," katanya.

Sementara itu, Reezal Merican yakin Tampin akan terus kekal menjadi kubu kuat BN pada pilihan raya umum akan datang.

"Saya lihat di Tampin ini, jentera berada dalam kesiapsiagaan yang amat rapi, berpadu...saya lihat kemampuan ketua ketiga-tiga sayap ini untuk turun bertarung dalam pilihan raya amat tinggi dan semangat mereka ini, saya yakin merupakan petunjuk yang amat positif," katanya. – Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • HULU SELANGOR - Umno dan BN Selangor mengutuk tuduhan tidak berasas Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak perlu bertanggungjawab atas kekecohan yang berlaku di forum Nothing to Hide 2.0 pada Ahad lalu.
  • KUALA LUMPUR - Bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo berkata, ada pihak beranggapan kekalahan BN Selangor pada PRU12 berpunca daripadanya.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.