IPOH - Amanah Perak menganggap peningkatan penyertaan ahli baharu di dalam parti itu bukan satu ancaman kepada PH.

Setiausahanya, Salman Salleh berkata, kemasukan ahli baharu penting dalam usaha menguatkan parti dan memudahkan gerak kerja.

Beliau berkata, selepas PRU14 lalu, jumlah keahlian Amanah di Perak meningkat sekali ganda dan kebanyakan mereka yang menyertai parti itu adalah dalam kalangan ahli Umno serta Pas.

"Saya nampak ada perkembangan positif selepas PRU14. Malah selepas kemenangan di tiga PRK di Selangor, lagi ramai terutama dari Pas.

"Keahlian mereka didaftarkan di peringkat cawangan dan kawasan, jadi kita tak risau kerana kita dapat kenalpasti siapa ahli yang nak masuk itu," katanya kepada Sinar Harian, hari ini.

Salman berkata, kemasukan ramai ahli dan pimpinan Pas di peringkat negeri dan kawasan ke dalam Amanah dipercayai didorong rasa tidak puas hati terhadap kerjasama Pas dan Umno dalam siri PRK itu.

Beliau berkata, Amanah pada dasarnya tidak menghalang sesiapa untuk menyertai parti itu bagaimanapun tapisan tetap dibuat jika berlaku isu-isu sensitif atau keahlian seseorang individu itu memberikan imej negatif kepada parti.

Sementara itu, Salman berkata, pihaknya menyasarkan lebih ramai lagi ahli menyertai Amanah.

Malah katanya, Amanah Perak menetapkan sasaran pertambahan tiga kali ganda ahli baharu berbanding sebelum PRU14 lalu.