KOTA BHARU - Hujung pangkal bentuk hubungan kerjasama Pas dengan seteru politiknya selama ini bakal ditentukan ahlinya sendiri pada Muktamar Tahunan mereka ke 64 di Terengganu nanti.

Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, isu kerjasama Pas-Umno sememangnya antara yang dijangka menghangatkan lagi muktamar berkenaan.

Bagaimanapun, Mohd Amar berkata, Pas tidak memberi arahan kepada perwakilan untuk mengutarakan sebarang topik-topik yang bakal dibangkitkan hujung minggu ini.

“Saya tidak tahu sebab benda ini (isu kerjasama) datang daripada perwakilan. Terserah kepada mereka. Kita juga tunggu apa yang akan dibangkitkan,” katanya kepada media hari ini.

Beliau ditemui selepas menghadiri Mesyuarat Mingguahn Exco Kelantan yang dipengerusikan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob di Kompleks Kota Darul Naim.

Sementara itu, Mohd Amar juga menyambut baik kesediaan Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk hadir mengikuti ucapan dasar Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Katanya, sejak dari dahulu lagi Pas menjemput pemimpin pembangkang untuk sama-sama menghadiri muktamar mereka dan tidak pernah menghalangnya.

“Dahulu pun Presiden PKR, Pengerusi DAP, Setiausaha Agong datang ke muktamar kita. Itu perkara biasa,” katanya.

Muktamar Tahunan Pas ke 64  berlangsung selama tiga hari bermula 14 September ini di Terengganu.