LUMUT - Pergolakan dalaman parti antara faktor menyebabkan BN Perak kehilangan lima kerusi Dun dengan majoriti 400 ke bawah PRU14 lalu.

Lima kerusi berkenaan adalah Dun Behrang, Dun Chenderiang, Dun Selama dan Dun Kubu Gajah gagal dipertahankan BN manakala Dun Titi Serong dirampas PKR daripada Pas.

Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, BN Perak antara jentera yang berjaya memberikan keputusan membanggakan kepada parti berkenaan pada PRU14 apabila memberikan saingan sengit kepada PKR.

Sebahagian perwakilan yang hadir pada mesyuarat perwakilan Umno Lumut, pagi tadi.

"Terima kasih saya ucapkan kepada mereka yang bekerja begitu keras bagi memastikan BN di Perak berjaya dan Alhamdulillah dalam semua negeri bertarung dalam PRU rupanya Perak antara negeri yang mencapai kejayaan yang boleh kita banggakan.

"Walaupun tidak dapat membentuk kerajaan, mereka (PKR) juga tidak dapat bentuk kerajaan ketika itu di mana BN 27 kerusi, PKR 29 kerusi dan Pas tiga kerusi sebelum ada yang melompat," katanya ketika berucap pada Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno Bahagian Lumut di Virgo Batik Resort, Teluk Batik, pagi tadi.

Menurut Zambry, itu sudah cukup membuktikan jentera BN di negeri ini telah bekerja keras dan memberikan saingan walaupun gagal membentuk kerajaan selepas kalah dibeberapa kerusi yang tidak diduga.

"Kalau tidak disebabkan oleh faktor tertentu lima lagi kerusi iaitu Behrang, Chenderiang, Selama, Kubu Gajah dan Titi Serong sudah pasti kita akan mempunyai 32 kerusi untuk membentuk kerajaan negeri dengan majoriti mudah.

"Misalnya di Behrang kita kalah dengan majoriti 409 undi dan kalau tidak disebabkan masalah dalaman yang merajuk itu kita boleh menang kerusi ini.

"Kemudian kerusi Chenderiang iaitu Dun Menteri Besar sekarang kita kalah dengan majoriti hanya 39 undi sahaja dan diikuti kerusi Titi Serong kalah dengan majoriti 141 undi," katanya.

Tambahnya, lebih teruk apabila dua lagi kerusi Dun di bawah Parlimen Larut iaitu Dun Selama dan Kubu Gajah, BN kalah dengan masing-masing majoriti 289 dan 180 undi tetapi menang Parlimen dengan majoriti besar 4,486 undi.

Saingan BN di Perak antara terkuat

Menurut Zambry lagi selain memberi saingan dalam perebutan kerusi Dun di Perak, BN Perak juga turut menjadi antara negeri terbaik bagi memenangi banyak kerusi parlimen di negeri ini.

Zambry (kanan) semasa sidang media selepas mesyuarat berkenaan.

"Bagi yang kalah bawah 400 kerusi bermakna kita kerja dengan begitu baik pada PRU14 dan kita juga pamer pencapaian terbaik termasuk di parlimen.

"Antara negeri yang BN paling banyak menang parlimen adalah Perak sebanyak 11 kerusi dan semua ini kerana kita berjaya membentuk satu kumpulan yang mantap disebalik tsunami besar itu," katanya.

Zambry berkata, walaupun berlaku tsunami dari selatan hingga ke Kedah di utara apabila sampai ke Perak ia tidak menjadi kerana berlaku persaingan sengit antara BN dan PKR ketika itu.

"Sampai sahaja di Perak air berkenaan pecah-pecah kerana usaha BN di Perak yang melakukan gerak kerja dan doa dari rakyat serta harapan mereka untuk memberikan kita kemenangan seimbang," katanya.

Mengenai tindakan Adun BN yang melompat parti, Zambry berkata, perkara itu lumrah apabila kalah akan terdapat mereka yang mengambil tindakan melulu.

"Orang yang baru kalah ini biasanya gundah-gulana dan yang dia nampak adalah tingkap lalu terjun ke kolam  tetapi sayangnya kolam belum lagi ada air.

"Mungkin tengah panas jadi nampak macam air, terjun-terjun tak da air, lepas tu Pakatan Harapan buat keputusan kami tak terima mereka (Umno) yang nak join kami setakat ini.

"Yang situ dah keluar dan terjun tengok-tengok dalam kolam tu pasir bukan air, nak patah balik tak boleh sampai ada yang call saya cakap dah malu nak buat macam mana ni," katanya.

Biar pimpinan BN lantik ketua pembangkang

Ketika diminta mengulas kemungkinan mengetuai pembangkang negeri, Zambry yang juga bekas Menteri Besar Perak berkata, perkara tersebut masih dalam perbincangan pimpinan tertinggi BN.

"Sebagai pengerusi BN Perak, secara dasarnya mereka akan melantik saya sebagai ketua pembangkang di negeri ini, tetapi ini bukanlah mengenai saya, ia adalah mengenai parti.

"Kita akan lihat kemudian kerana apa yang penting adalah memulihkan dahulu imej parti selepas apa yang berlaku PRU lalu," katanya.

Tambahnya, jika parti tidak melantik beliau sebagai ketua pembangkang di negeri ini, itu bukanlah masalah malah akan diterima dengan sikap terbuka demi kepentingan rakyat.

"Saya akan mempertimbangkan lantikan sebagai ketua pembangkang di Perak, perkara ini akan dimuktamadkan kemudian kerana ia melibatkan tanggungjawab parti untuk melantik sesiapa sahaja.

"Segalanya bergantung kepada keputusan BN dan saya sentiasa bersikap terbuka dalam sebarang keputusan yang dibuat untuk kepentingan parti," katanya.