KUCHING – Dewan Undangan Negeri (Adun) Sarawak hari ini mengenakan denda maksimum RM2,000 terhadap anggotanya daripada DAP Violet Yong kerana menghina Dewan.

Yong dianggap menghina Dewan apabila menyiarkan catatan dalam akaun Facebooknya maklumat yang didakwa mengelirukan tentang emolumen diterima speaker dan timbalan speaker.

Timbalan Speaker Datuk Gerawat mengenakan denda itu mengikut Seksyen 24(1) Ordinan Dewan Undangan Negeri (Hak Keistimewaan dan Kuasa) 2007 selepas Dewan mencatat undi 62-6 yang menyokong usul dikemukakan Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Wong Soon Koh, merangkap  Menteri Perdagangan Antarabangsa dan e-Dagang.

Yong enggan memohon maaf kepada Dewan dan mengeluarkan catatan berkenaan daripada laman Facebooknya apabila Wong menggesanya berbuat demikian. Beliau didakwa menyiarkan catatan bahawa emolumen bagi speaker dan timbalan speaker berjumlah RM5,947 juta setahun, yang menurut Wong merupakan cubaan secara sengaja untuk mengelirukan rakyat serta mencemar imej Dewan Yang Mulia itu serta speaker.

Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen, pada sidang akhbar berasama Yong kemudiannya, berkata apa yang berlaku hari ini merupakan suatu lagi kejadian di mana majoriti membuli minoriti  (pembangkang).

Katanya, tiada keperluan bagi Wong mengemukakan usul itu kerana Yong, Anggota Dewan Undangan Negeri Pending, semata-mata menyiarkan semula anggaran belanjawan.

"Bukanlah suatu kesalahan apabila beliau menyiarkan catatan itu di laman Facebooknya kerana beliau hanya menyiarkannya semula. Sekiranya maklumat yang beliau siarkan itu salah, maka orang yang merangka belanjawan itu juga salah," kata Chong dengan menambah bahawa Menteri Kewangan dan Menteri Kewangan Kedua juga sepatutnya dipersalahkan berhubung perkara itu.

Chong berkata maklumat itu tidak jelas kerana ia hanya menyebut tentang gaji speaker dan  timbalan  speaker.

"Maka, dalam keadaan demikian, perlukah usul itu dikemukakan? Mereka perlu mengamalkan lebih banyak demokrasi di dalam Dewan," katanya.

Yong berkata: "Saya percaya saya adalah anggota DUN pertama yang dikenakan  denda mengikut Ordinan Hak keistimewaan dan Kuasa 2007.”

Yong menegaskan bahawa beliau tidak melakukan sebarang kesalahan dan tidak mencemarkan imej Dewan itu seperti didakwa Wong, sebaliknya memberi peluang kepada kerajaan negeri untuk membuat penjelasan.

Beliau juga mendakwa Wong mengelak daripada memberi maklumat tentang pecahan bayaran elaun.

"Saya kecewa dengan penjelasan yang diberi menteri itu. Saya tidak kisah membayarnya (denda RM2,000) kerana saya mahu berpegang pada apa yang saya katakan bagi memastikan wang pembayar cukai dibelanja dengan sewajarnya," kata beliau.- Bernama