IPOH - Adun Bota, Khairul Shahril Mohamed mengakui dirinya salah seorang Adun BN yang ditemui berkaitan isu menjatuhkan Menteri Besar Perak.

Menurutnya, beliau bersama beberapa Adun BN dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini untuk memberikan keterangan.

Dalam pertemuan dengan pemberita selepas memberi keterangan, beliau mengesahkan wujudnya pertemuan tersebut tanpa memberikan maklumat terperinci.

"Ya saya salah seorang yang ditemui oleh sahabat-sahabat kita dan pada saya biasalah tu,  orang nak jumpa kita layanlah.

"Pada saya, kerajaan ke pembangkang ke kita sahabat semuanya kita boleh bersama tetapi dalam keadaan-keadaan yang tertentu," katanya ringkas.

Sementara itu, seorang lagi wakil rakyat BN,  Adun Bukit Chandan, Maslin Sham Razman berkata, dia hadir selepas diminta SPRM untuk memberikan keterangan.

Katanya, selain dirakam percakapan, beliau turut membawa Akuan Bersumpah untuk diserahkan kepada SPRM.

Ditanya sama ada beliau antara lima Adun BN yang ditemui pihak tertentu, Maslin Sham enggan mengulas lanjut sebalik berkata beliau mungkin dipanggil secara rawak oleh SPRM.

Semalam, Exco Kerajaan Perak, Dr Abdul Aziz Bari mengesahkan beliau dipanggil SPRM untuk memberikan keterangan berhubung isu gerakan menjatuhkan Menteri Besar Perak.

[ARTIKEL BERKAITAN: Guling MB Perak: Aziz Bari beri keterangan kepada SPRM]

Sebelum ini, Pengerusi BN Perak, Datuk Saarani Mohamad ketika Sidang Dun Perak mendedahkan nama Abdul Aziz sebagai  individu yang ada kaitan dengan lima wakil rakyat BN berhubung isu undi tidak percaya terhadap Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

[ARTIKEL BERKAITAN: Adun Tebing Tinggi ada kaitan undi tak percaya MB?]

Bagaimanapun Abdul Aziz menafikan beliau terlibat dalam gerakan menjatuhkan Menteri Besar Perak seperti didedahkan Saarani.

[ARTIKEL BERKAITAN: Saya tak terlibat jatuhkan MB Perak]