KAPAR - Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin mendakwa mungkin ada pihak atau gerakan yang ditubuhkan untuk menjatuhkan kredibiliti Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali.

Mengulas mengenai dakwaan terbabit, beliau menyifatkan ianya adalah salah satu strategi tidak bermoral yang digunakan untuk menjatuhkan beliau.

"Kita tahu aduan tersebut datang dari pelbagai pihak, cuma ianya diketengahkan kerana beliau bertanding bagi jawatan Timbalan Presiden.

"Kita harus ambil kira juga aduan yang datang dari pihak beliau," katanya ketika ditemui Sinar Online semasa beliau mengadakan lawatan di Pemilihan Cabang PKR di Dewan Sungai Pinang, Cabang Kapar, hari ini.

Pada 5 Jun lalu, Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Chegubard telah memfailkan aduan bertulis berkaitan rasuah yang didakwa melibatkan pemimpin tertinggi parti berkenaan.

Dalam surat itu, Chegubard mengemukakan satu tuduhan yang mendakwa Pengerusi Lembaga Rayuan pemilihan PKR, Abd Malek Hussin telah menolak rasuah yang cuba dihulurkan oleh Ketua Cabang Kota Raja, Dr Xavier Jayakumar.

Azmin bagaimanapun menafikan sekeras-kerasnya tuduhan yang dilemparkan ke atasnya.