KUALA LUMPUR - Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menekankan tentang kewujudan golongan yang menjadi 'duri dalam daging' dalam Umno ketika mula membentangkan laporan parti pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) di sini, hari ini.

Kenyataannya itu disambut dengan teriakan oleh beberapa suara perwakilan yang hadir.

"Media masa dan media sosial disalahgunakan oleh segelintir pihak bagi memburukkan Umno dan kepemimpinnya. Serangan bertali arus dari pihak luar yang sememangnya mahu melihat Umno hancur.

"Namun, apa yang lebih dikesalkan, ada juga segelintir ahli-ahli Umno menjadi duri dalam daging, api dalam sekam, gunting dalam lipatan dengan mengambil pendekatan bertentangan dengan kehendak parti," katanya.

Beliau akui tidak mudah menangani segala serangan yang dilancarkan kepada parti itu.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan bahawa parti itu memerlukan ahli yang sentiasa komited dengan parti bukan yang menghancurkannya demi kepentingan peribadi.

"Bukan mudah untuk menanganinya namun mengalah tidak sekali-kali. Setiap yang berlaku pastinya akan ditempuhi secara terbuka, setiap permasalahan akan diperhalusi punca dan akibatnya, setiap keputusan yang bakal dibuat pula telah diperinci sabit kesalahan dengan tujuan supaya Umno terus sejahtera.

"Keharmonian partilah yang utama kerana Umno memerlukan mereka yang sentiasa komited dalam perjuangan dan bukannya yang menghancurkan apatah lagi atas kepentingan peribadi," katanya.