MARANG - Ketua Pemuda Pas, Muhammad Khalil Abdul Hadi menyerahkan kepada parti sama ada terpilih sebagai calon dalam PRU-14 akan datang atau sebaliknya namun beliau lebih selesa menjadi petugas biasa.

Menurutnya, tugasnya adalah lebih kepada membuat persediaan dan memastikan jentera Pemuda Pas bersiap siaga bermula dari sekarang sehinggalah PRU14 diumumkan dijangka pada bila-bila masa sahaja.

"Alhamdulillah kita telah 'turun' di dua pertiga negeri-negeri dalam jelajah diaturkan oleh Dewan Pemuda yang kita namakan Jelajah Hijau. Tinggal berbaki lagi Negeri Sembilan, Kelantan, Johor, Sabah dan Sarawak.

"Selain daripada itu, kita telah turun ke semua negeri (lain) dan saya berpuas hati dengan persiapan yang telah dilakukan oleh jentera di negeri-negeri khususnya di negeri-negeri yang kita sasarkan, di Selangor, Kedah, Terengganu.

"Di Kelantan kita akan lihat....Saya percaya Kelantan sudah bersedia termasuklah di negeri Pahang, Perak dan lain-lain lagi," katanya ketika ditemui Sinar Harian di Rusila di sini, hari ini.

Dalam pada itu, anak sulung presiden Pas itu berkata, Pemuda Pas turut percaya bahawa parti dan rakyat masih memerlukan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Awang untuk terus kekal bertanding pada PRU-14 ini.

Beliau berkata, parti dan rakyat masih memerlukan Abdul Hadi untuk memastikan perjuangan parti berkenaan yang disifatkannya masih belum selesai itu agar dapat diselesaikan pada pilihanraya kali ini.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai kesanggupannya mengisi tempat bapanya bertanding di kerusi Dun Rhu Rendang, Muhammad Khalil berkata, beliau tidak tahu apa akan berlaku di masa akan datang.

Bapanya, Abdul Hadi merupakan Ahli Parlimen Marang dan juga Adun Rhu Rendang selepas memenangi dua kerusi berkenaan pada PRU13 yang lalu.

 

 

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • MARANG - Pas Terengganu mengulangi pendirian parti itu untuk bertanding di semua lapan kerusi Parlimen dan 32 kerusi di Dun negeri Terengganu pada PRU14 tidak lama lagi.
  • KOTA BHARU - Jika benar mahu menumbangkan Pas, Datuk Husam Musa tidak perlu mencalonkan orang lain untuk bertanding di kerusi Dun Panchor, yang kini digalas Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.
  • AMPANG - Seramai 547 ahli Umno dan Pas telah mengambil keputusan untuk meninggalkan parti tersebut dan menyertai Bersatu Bahagian Ampang.
  • KUALA LUMPUR - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan tarikh PRU14, akan diadakan bila-bila masa sahaja daripada sekarang.
  • KUALA LUMPUR - Demi memastikan survival perjuangan Umno akan kekal relevan, semua ahli Umno perlu memahat tiga azimat bagi memenangi PRU14.