Azmin Ali
Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali

KEPONG - ‎​Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali hadir di Balai Polis Kepong pagi ini tetapi mempersoalkan motif tindakan pihak berkuasa menjalankan siasatan mengenai Perhimpunan 901, yang diadakan pada hari Mahkamah Tinggi memutuskan keputusan kes Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Azmin keluar selepas hampir 50 minit mengadakan pertemuan dengan polis, bernula jam 11.05 pagi tadi dengan ditemani peguamnya N. Surendran.

Ketika ditemui wartawan selepas itu, Azmin mempersoalkan siasatan terhadap dirinya walaupun sudah ada kebenaran daripada pihak polis sendiri.

"Apa yang mengejutkan, laporan polis dibuat pada 31 Disember 2012 tetapi pada 6 Januari 2012, pegawai tertinggi polis memberi kebenaran untuk mengadakan perhimpunan pada 9 Januari 2012," katanya ketika ditemui media di Balai Polis Kepong.

"Saya kesal dengan tindakan kerana ini merupakan satu tindakan yang menekan dan menutup suara  dengan menggunakan Akta Hasutan terhadap pemimpin Pakatan Rakyat," katanya lagi.

Menurutnya, laporan tersebut mendakwa beliau bercadang mengadakan perhimpunan pada 9 Januari 2012.

Sehubungan itu, Azmin yang juga Ahli Parlimen Gombak berkata, beliau hanya akan memberi keterangan penuh di mahkamah sekiranya didakwa kelak.

"Tindakan ini tidak sama sekali menutup suara Pakatan Rakyat untuk terus membawa perubahan," katanya sambil menambah, dalam laporan yang dinyatakan, 17 nama disenaraikan di bawah Seksyen 105 Kanun Prosuder Jenayah tetapi namanya tidak disenaraikan.

Beliau berkata, kes akan disiasat di bawah seksyen 41A Akta Hasutan 1948 berdasarkan laporan polis yang dibuat oleh salah seorang pegawai tertinggi polis pada 30 Disember tahun lalu.

Sementara itu menerusi Twitternya, Azmin menasihatkan pihak polis supaya menumpukan pada isu jenayah dan keselamatan rakyat.

"Saya tidak berminat melayan kerenah rakaman percakapan. Buang masa. Pihak polis yang membenarkan perhimpuanan 901. Nak siasat apa lagi? Zaman Edan!," kenyataannya yang dipetik dari Twitter.

"Saya berasa sangat kesal pihak berkuasa cuba guna Akta Hasutan untuk tutup suara rakyat," kata Azmin  ketika tampil memberi keterangan di balai polis Kepong, berhubung siasatan himpunan kempen 901 pada 9 Januari lalu.


www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.