BUKIT MERTAJAM - Persatuan Alumni Belia 4B Malaysia akan menggerakkan lebih 200,000 anggotanya untuk membantu jentera Barisan Nasional (BN) berkempen sepanjang pilihan raya umum ke-13 (PRU13).

Setiausahanya Datuk Jamaludin Abdul Rahim berkata pihaknya telah membuka 12 bilik gerakan di semua negeri di Semenanjung  Malaysia dan setiap kawasan akan ada anggota alumni yang membantu jentera BN.

"Alumni kita akan bantu jentera BN di setiap kawasan dan saya percaya dengan pengalaman serta pendedahan yang ada sedikit  sebanyak akan dapat membantu parti.

"Usaha yang kita jalankan itu adalah bagi memastikan BN menang sekurang-kurangnya dua pertiga kerusi Parlimen pada PRU13  dan saya percaya kita mampu mencapainya," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian Bilik Gerakan Belia 4B, di sini malam tadi.

Majlis itu dirasmikan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang Teng Chang Yeow.

Jamaludin berkata pihaknya turut mengatur beberapa strategi bagi memastikan calon-calon BN yang bertanding akan memperoleh  sokongan dan majoriti undi yang lebih banyak.

"Saya tidak boleh mendedahkannya. Tetapi saya nak seru semua alumni dan anggota keluarga keluar mengundi pada hari  pengundian nanti bagi memastikan BN menang," katanya.

Beliau berkata pihaknya juga akan memberi tumpuan di 54 kawasan Parlimen yang diyakini mampu dimenangi BN berdasarkan  sokongan masyarakat di kawasan berkenaan.

"54 kawasan Parlimen ini yang BN boleh menang bagi memastikan parti memperoleh dua pertiga kerusi, berdasarkan tinjauan yang kita jalankan BN boleh menang majoriti lebih 3,000 undi di situ," katanya.

Beliau berkata sokongan rakyat terhadap BN juga semakin meningkat sekarang ini kerana mereka mula sedar pembangkang gagal  melaksanakan janji dan membawa perubahan.

"Pada pilihan raya lepas, mereka dan ada juga segelintir alumni 4B terpengaruh dengan janji-janji pembangkang serta slogan 'tukar'  tetapi selepas memerintah di beberapa negeri, rakyat sudah nampak dan mula beralih kepada BN," katanya. - Bernama