17 Ajk MCA Kota Tinggi dan Tenggara letak jawatan dalam agensi kerajaan

A
A

KOTA TINGGI - Sebanyak 17 anggota jawatankuasa MCA Bahagian Kota Tinggi dan Tenggara di sini, melepaskan jawatan mereka dalam agensi kerajaan berkuat kuasa esok.      Pengerusi MCA Kota Tinggi Ng Keng Heng berkata mereka yang meliputi 10 daripada MCA Kota Tinggi dan baki daripada bahagian Tenggara berbuat demikian selaras keputusan pucuk pimpinan tertinggi parti pada mesyuarat agung luar biasa (EGM) MCA pada 2011.      Kesemua mereka melepaskan jawatan antaranya sebagai anggota Majlis Daerah Kota Tinggi, anggota Lembaga Pelawat Hospital Kota Tinggi, ketua masyarakat dan juga pemerhati Majlis Daerah Kota Tinggi, katanya pada sidang media, di sini hari ini.      "EGM itu memutuskan jika wakil dari MCA yang bertanding Pada pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) mendapat kerusi yang kurang daripada PRU12 kami tidak akan terima apa-apa jawatan.      "Ini adalah cara demokrasi dan kami harus menghormati keputusan undi pada pilihan raya kali ini sebab itu kami secara rasmi meletakkan jawatan," kata Ng.      Ditanya sama ada mereka akan menerima kembali jawatan terbabit jika dilantik semula, beliau berkata mereka akan membuat keputusan selaras dengan kehendak pucuk pimpinan tertinggi parti.      Hadir sama Pengerusi MCA Bahagian Tenggara, Gan Ong Peng. - Bernama


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia

×