• Polis tahan dua lelaki susulan insiden ‘flashmob berdarah’ Rakaman yang disebarkan menerusi Youtube berhubung insiden petang, kelmarin.
  • Polis tahan dua lelaki susulan insiden ‘flashmob berdarah’ Rakaman yang disebarkan menerusi Youtube berhubung insiden petang, kelmarin.
1 /

IPOH - Polis menahan dua lelaki berusia 24 dan 32 tahun kerana dipercayai terbabit dalam insiden ‘flashmob berdarah’ yang berlaku di Station 18 petang kelmarin.

Insiden yang berlaku kira-kira jam 3.40 petang itu membabitkan antara ratusan penyokong parti sehingga menyebabkan dua lelaki berusia 24 tahun mengalami cedera di beberapa bahagian muka.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Shukri Dahlan berkata, kedua-dua lelaki ditahan lebih kurang jam 7.30 malam kelmarin di sekitar kawasan Gunung Rapat.

“Pada awalnya, polis menerima panggilan orang awam bahawa berlaku pergaduhan di kawasan berkenaan namun apabila kereta peronda polis tiba, pergaduhan telah dileraikan orang ramai.

“Bagaimanapun, pada jam 4.50 petang, antara 300 hingga 400 orang remaja bermotosikal yang merupakan penyokong sebuah parti politik berpatah balik dan bertembung dengan penyokong sebuah parti lain di situ.

“Penyokong parti lain yang berada di kawasan itu cuba menimbulkan provokasi sehingga timbulnya suasana tidak tenteram dan berlaku pergaduhan antara kedua-dua pihak.

“Unit Tindakan Ringan (LSF) yang tiba di tempat kejadian segera meleraikan pergaduhan dan menahan dua lelaki di kawasan tersebut,” katanya.

Mohd Shukri berkata, salah seorang daripada mangsa cedera mengalami kecederaan di muka dipercayai terjatuh ke batu manakala seorang lagi mangsa dihentak di dahi.
“Kita turut menemui kayu yang dipercayai digunakan untuk memukul mangsa yang cedera,” ujarnya.

Beliau berkata, kedua-dua lelaki yang ditahan telah dibebaskan atas jaminan polis, semalam (kelmarin) dan kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan atas kesalahan merusuh.

“Jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, semalam.

Menurutnya, kedua-dua lelaki terbabit dilepaskan bagi memberi peluang kepada mereka untuk menunaikan tanggungjawab mengundi di kawasan masing-masing.

Insiden flashmob yang berlaku sehari sebelum proses pembuangan undi itu dirakam dan  dimuat naik dalam laman sosial termasuk facebook.

Video berdurasi 6 minit 38 saat itu pada mulanya memaparkan sekumpulan remaja bermotosikal yang memakai baju merah sedang melalui persimpangan lampu isyarat di Station 18.

Selang beberapa saat selepas itu, video menunjukkan segelintir penyokong baju kuning dan hijau bertindak membaling batu ke arah kumpulan konvoi berkenaan sehingga menyebabkan ada dalam kalangan mereka terpaksa memberhentikan kenderaan.

Beberapa individu dilihat mula berkerumun antara satu sama lain selepas motosikal salah seorang penyokong baju merah ditendang menyebabkan berlaku pergaduhan antara kedua-dua kumpulan terbabit.

Dalam paparan video berkenaan, pertembungan dua kumpulan itu dilihat saling berbalas pukulan dengan sebahagiannya menggunakan topi keledar.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Mohd Shukri berkata pihaknya banyak menerima laporan berhubung dakwat kekal yang tidak tahan lama selepas dicalit ketika mengundi, semalam.

“Malah, ada juga laporan polis yang dibuat berhubung insiden pengundi tidak puas hati terdapat parti yang berkempen di pusat mengundi dan laporan nama pengundi tidak tercatat dalam daftar pengundi,” katanya.