• Koo Kien Keat dan Tan Boon Heong Pasangan regu lelaki Malaysia, Koo Kien Keat dan Tan Boon Heong beraksi ketika menentang Taiwan dalam pusingan pertama Kejohanan Badminton Piala Sudirman 2013
1 /

SKUAD Badminton negara memulakan kempen Kejohanan Piala Sudirman 2013 dengan langkah kiri apabila tewas mengejut 2-3 kepada pilihan 9/12, Taiwan dalam saingan pembukaan kumpulan C di Stadium Putra, Bukit Jalil hari ini.

Turun selaku pilihan ke 3/4, Malaysia bukan sahaja mempamerkan aksi mengecewakan malah turut menghampakan penyokong yang membanjiri Stadium Putra.

Pada perlawanan tadi,  Malaysia dikejutkan dengan kekalahan pertama beregu utama negara, Koo Kien Keat/Tan Boon Heong.

Pasangan beregu nombor tiga dunia itu tewas kepada Lee Sheng Mu/ Tsai Chia Hsin dengan catatan 18-21 dan 18-21 dalam masa 31 minit.

Taiwan menambah derita pasukan Malaysia apabila pemain perseorangan wanitanya, Tai Tzu Ying berjaya menewaskan perseorangan wanita negara, Sonia Cheah 7-21 dan 13-21 untuk mengutip mata kedua buat pasukan mereka.

Bagaimanapun, perseorangan pertama negara, Datuk Lee Chong Wei menceriakan penyokong tuan rumah dengan menghadiahkan mata pertama buat negara selepas menewaskan Yang Chih Hsun 21-8 dan 21-13.

Taiwan memastikan kemenangan mutlak ke atas Malaysia apabila beregu wanita mereka, Chenf Wen Hsing dan Hsieh Pei Chen berjaya menundukkan Woon Khe Wei dan Hoo Vivian Kah Mun 21-17 dan 21-19.

Beregu campuran nombor tiga dunia yang turun pada perlawanan terakhir, Chan Peng Soon dan Goh Liu Ying menyelamatkan maruah negara daripada terus diaibkan selepas mereka mengalahkan Lu Ching Yao dan Lai Chia Wen 25-23 dan 21-11 untuk keputusan 2-3.

Malaysia perlu mengalahkan Jerman dalam perlawanan kedua selasa ini disamping mengharapkan 'belas ihsan' daripada pasukan itu untuk mengalahkan Taiwan dalam saingan esok seandainya masih memasang hasrat untuk ke suku akhir nanti.

Sementara itu, pasukan pilihan dan juara lapan kali, China menepati ramalan apabila mudah menewaskan India 5-0 dalam perlawanan pertama Kumpulan A.

China nyata bukan tandingan untuk pasukan India apabila pasukan daripada Tembok Besar itu berjaya mencatat kemenangan dalam kesemua lima perlawanan dengan straight-set.

Esok, Indonesia akan turun menentang India dalam satu lagi aksi Kumpulan A.

Denmark yang berada dalam Kumpulan D juga tidak mengalami masalah untuk menewaskan Singapura 4-1.

Beregu campuran, Fischer Nielsen Joachin dan Pedersen Christina, perseorangan lelaki, Jorgensen Jan O serta pasangan Mogensen Carsten dan Boe Mathias memberikan 3 mata pertama Denmark selepas mudah menewaskan lawan masing-masing dengan straight-set.

Denmark bagaimanapun dikejutkan apabila pemain perseorangan wanitanya, Kjaersfeldt Line kalah mengejut kepada Gu Juan juga dengan keputusan straight-set.

Pasangan beregu wanita yang turun pada perlawanan terakhir kembali menceriakan penyokong Denmark dengan menewaskan lawan mereka untuk keputusan 4-1.