PUTRAJAYA - Pertandingan Bunga Api Antarabangsa Putrajaya 2013 yang dijadualkan pada 30 dan 31 Ogos, 13 hingga 15 Sept, dan 2 Okt ini dijangka menarik tiga juta pengunjung.
   
Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj) Tan Sri Aseh Che Mat berkata sebanyak enam negara menyertai pertandingan kali ini iaitu China, Emiriyah Arab Bersatu, Amerika Syarikat, Korea Selatan, Perancis dan Malaysia.   
   
Pertandingan ini berlainan daripada pertunjukan bunga api biasa kerana setiap pertunjukan diiringi muzik pilihan negara peserta, katanya pada sidang media di sini hari ini.
   
Menurutnya dianggar 500,000 pengunjung akan datang ke Pusat Maritim, Presint 5, Putrajaya pada setiap tarikh pertandingan diadakan.
   
Setiap pertunjukan akan berlangsung selama 25 minit bermula 9 malam pada tarikh-tarikh berkenaan, kecuali pada 30 Ogos, pertunjukan dimulakan pukul 12 tengah malam sempena sambutan Ambang Kemerdekaan, katanya.

Selain persembahan bunga api, PPj selaku penganjur bersama Duago Corp Sdn Bhd juga akan mengadakan acara sampingan seperti konsert mini, bazar dan jualan makanan jalanan.
   
Menurut Aseh, bagi kemudahan pengunjung PPj menyediakan kawasan letak kereta dan perkhidmatan bas berhampiran tapak pertandingan.
   
Sementara itu, beliau berkata bermula 30 Ogos ini nama Pusat Maritim akan ditukar kepada Marina Putrajaya.
   
"Pertukaran ini bagi mengelakkan kekeliruan orang ramai yang mengaitkan pusat ini dengan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan sebagainya," katanya. - Bernama