Luqman Hakim Abd Malik bersama Zarina Ghazalli dua anak mereka Cahaya Raisya dan Dahlia Raisya (kiri).
Muka kulit majalah Seri Dewi & Keluarga edisi Jun
WAJAH tampan personaliti ini sering dilihat menghiasi iklan Niquitin Malaysia atau Bank Rakyat dan pasti membuatkan ramai mengingati. Memulakan kerjaya sebagai model sambilan sebelum menimba pengalaman bekerja dalam bidang penyiaran.
Selain menjadi model secara sambilan, sebenarnya Luqman Hakim Abd Malik, 30, yang mesra disapa Luqman juga pernah bertugas di stesen Bernama dan ESPN sejak 2007 sebelum bertugas di Media Prima pada 2011.
Kini, saban minggu wajah Luqman Hakim dapat ditonton menerusi rancangan Nasi Lemak Kopi O, di TV9 yang menemui penonton bermula jam 8 pagi. Bukan sahaja bertindak sebagai pengacara tetapi juga penerbit bagi rancangan berkenaan.
Penyertaannya dalam penerbitan rancangan bual bicara Nasi Lemak Kopi O yang banyak mengupas isu semasa banyak mendedahkan Luqman Hakim dengan penerbitan sesebuah rancangan. Jelasnya, menerusi rancangan yang semakin mendapat tempat di hati penonton ini banyak pengalaman yang ditimba Lukman Hakim termasuklah hal-hal berkaitan produksi.
“Sebelum ini saya hanya berada di depan kamera, sebaliknya kini tahu segala proses termasuklah di belakang tabir bagi menjayakan sesebuah program itu. Walaupun saya perlu menyelesaikan pelbagai perkara dan ia meletihkan, tetapi amat menyeronokkan kerana memberi kepuasan pada diri. Lagi pula saya memang berminat lakukan kerja-kerja sebegini,”ceritanya panjang lebar.
Tambah Luqman Hakim, sejak dirinya menyertai rancangan Nasi Lemak Kopi O dan TV9, banyak perubahan berlaku pada dirinya. Antaranya masa yang terhad bersama keluarga walaupun hanya bekerja pada hari Rabu hingga Ahad dan bercuti pada Isnin dan Selasa. Situasi ini membuatkan dia perlu bijak mengatur masa untuk diri dan juga keluarganya. Jika dirinya masih bujang, mungkin tidak memberi masalah besar padanya. Namun setelah berumah tangga dia perlu mencuri masa yang ada untuk bersama isteri dan anak-anak terutamanya di hujung minggu.
‘Selalunya pada hari Ahad walaupun letih pulang baru daripada kerja, tetapi saya akan cuba memenuhi permintaan anak-anak dan isteri untuk keluar bersama-sama. Saya cuba bersikap positif kerana itulah masa yang paling berkualiti untuk bersama mereka. Mujurlah isteri banyak memahami tugas dan kesibukan saya menjadikan keadaan lebih mudah,”ujarnya lagi.
Luqman Hakim Bergilir Jaga Anak dengan Isteri
Setelah hampir lima tahun berumah tangga bersama gadis pilihannya, Zarina Ghazalli, 29, Luqman dikurniakan dua cahaya mata iaitu Cahaya Raisya, empat tahun, dan juga Dahlia Raisya, lapan bulan.
Bapa kepada dua cahaya mata ini sememangnya seorang yang penyayang dan gemar memanjakan kedua-dua puteri kesayangannya itu. Menurut Luqman Hakim, dia dan isterinya selesa untuk bersama-sama dalam menguruskan keperluan Cahaya Raisya atau Dahlia Raisya.
Pernah terjadi apabila Dahlia Raisya yang berusia dua bulan terpaksa dimasukkan ke hospital gara-gara jangkitan kuman di paru-paru dan mereka berdua bergilir untuk menjaga anak di hospital.
“Saya memang sedih dan risau apabila Dahlia Raisya ditimpa sakit. Bukan hanya sekali dia ditahan di hospital, tetapi ia berulang pula ketika usianya empat dan juga enam bulan. Ini mungkin disebabkan sikap Dahlia yang sangat sensitif. Oleh sebab itu saya dan isteri lebih memberi perhatian kepadanya. Kini, Alhamdulillah Dahlia semakin sihat dan kami sentiasa berdoa semoga kesihatannya semakin bertambah baik,” katanya kepada wartawan majalah Seri Dewi & Keluarga.
Jelas Luqman Hakim selain bekerjasama dalam menguruskan anak-anak, dia dan Zarina juga saling memahami dan bertolak ansur dalam menghadapi setiap perkara. Memandangkan Zarina juga bekerja, maka Luqman Hakim akan membantu isterinya membuat kerja rumah seperti menyapu sampah dan mengemas rumah. Malah, Luqman juga gemar mencuci pakaian kerana baginya itulah tugas paling mudah.
* Dapatkan edisi Jun majalah Seri Dewi & Keluarga












